Bola Sepak

Skuad Bunga Raya optimis mampu kalahkan Korea

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Di atas kertas, kelebihan mungkin memihak kepada Korea Selatan, namun skuad Bunga Raya 15 sebelah (s) Malaysia tidak mahu terlalu awal mengangkat 'bendera putih' pada perlawanan berlangsung 4 Jun depan.

Timbalan Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Amir Amri Mohamad berkata, ketika ini semua barisan pemain sudah menyertai kem latihan sebagai persediaan mengharungi Kejohanan Ragbi Asia (ARC) 15 Sebelah yang dilaksanakan secara 'round robin'.

Menurutnya, walaupun akan beraksi di Incheon, Korea Selatan, barisan pemain memasang impian untuk melakukan kejutan dengan menewaskan tuan rumah, sekali gus menempah slot bertemu Hong Kong kelak.

"Kita melihat peluang untuk menang bertemu Korea Selatan tetap ada kerana masing-masing sudah lama tidak beraksi di pentas antarabangsa selain baru saja melakukan persediaan untuk perlawanan ini.

"Setakat ini, semua pemain berada dalam keadaan baik, cuma kita hanya boleh menggunakan tiga daripada lima khidmat tonggak naturalisasi apabila ada antara mereka tidak mendapat pelepasan kelab.

"Sekarang ini, fokus adalah memperbaiki kelemahan selain mengharapkan sentuhan jurulatih Rodney So'oialo mampu membantu pasukan negara meraih kejayaan," katanya.

Terdahulu, ARC 15s' Sebelah yang ditangguh beberapa kali berikutan pandemik Covid-19 akhirnya akan berlangsung secara 'round robin' pada awal bulan depan.

Sebelum ini, penganjuran ARC 15s' dijalankan secara format kumpulan, namun ditukar bagi membendung penularan Covid-19 kepada pemain dan pegawai pasukan.

Penangguhan perlawanan terbabit kemungkinan menyebabkan pemain yang beraksi di luar negara tidak mendapat pelepasan daripada kelab masing-masing.

ARC 15s' sepatutnya berlangsung pada pertengahan tahun lalu, namun ditunda lima kali, sekali gus terdapat beberapa pasukan mahu menarik diri daripada menyertai kejohanan itu.

Disiarkan pada: May 18, 2022 @ 8:33pm
d