mutakhir

Bomba bantu 2 pendaki keletihan

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Cheras: Akibat keletihan, dua pendaki diselamatkan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) selepas 'terperangkap' di atas bukit ketika aktiviti pendakian di dua lokasi berasingan, hari ini.

Pengarah JBPM Selangor Norazam Khamis berkata, kes pertama membabitkan lelaki berusia 71 tahun yang dilaporkan pengsan ketika mendaki Bukit Apek, Cheras di sini.

Menurutnya, sebuah jentera dengan kekuatan lapan anggota dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan pada 9.53 pagi.

"Sebaik tiba, anggota memulakan operasi pencarian dengan mendaki sejauh 1.2 kilometer untuk sampai ke lokasi mangsa. Pasukan berjaya sampai di lokasi mangsa pada 11.20 pagi dan mendapati mangsa dalam keadaan sedar tetapi keletihan.

"Bomba memberikan rawatan awal sebelum operasi mengeluarkan mangsa dilakukan. Mangsa berjaya dibawa turun dengan selamat pada 12.20 tengah hari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kes kedua membabitkan lelaki berusia 36 tahun di Hutan Simpan Seksyen 10 Kota Damansara, Petaling Jaya, Norazam berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada 10.27 pagi.

Beliau berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh bergerak ke lokasi bagi operasi menyelamatkan mangsa.

Katanya, operasi dengan kerjasama polis dan pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dimulakan pada 10.38 pagi.

"Mangsa berjaya ditemui tanpa sebarang kecederaan dan hanya keletihan. Anggota membantu menurunkan mangsa dengan cara memapahnya sehingga tiba di lokasi selamat," katanya.

Disiarkan pada: May 21, 2022 @ 4:41pm
d