mutakhir

Laba hijrah 'cari makan' ke Sydney

Oleh Muhamaad Razis Ismail

Kuala Lumpur: Bermula berhijrah untuk mencari rezeki di negara orang, sembilan keluarga rakyat Malaysia di Sydney, Australia bukan sahaja membantu rakyat Malaysia di negara itu, malah komuniti Islam di sana.

Dengan menjalankan perniagaan kedai runcit yang dinamakan Malaysian Groceries di Punchbowl, Sydney sejak Ogos 2020, mereka mengetengahkan pelbagai produk makanan halal dari Malaysia.

Pada masa sama, mereka turut menjual pelbagai jenis makanan yang disediakan rakyat Malaysia termasuk nasi lemak, laksa, rempah ratus, kuih tepung pelita dan sebagainya.

Perniagaan dijalankan bukan bermotif keuntungan semata-mata kerana masing-masing mempunyai kerjaya sendiri. Sebaliknya, matlamat utama untuk memberi kemudahan kepada masyarakat Malaysia dan komuniti muslim di Sydney mendapatkan bekalan makanan halal.

Seorang rakan kongsi Malaysian Groceries, Muhammad Akashah Ariffin, 27, berkata, idea memulakan perniagaan kedai runcit itu sudah lama dirancang, namun ia hanya dapat dilaksanakan selepas modal mencukupi.

"Objektif utama, perniagaan ini untuk memberi kemudahan kepada masyarakat Malaysia dan Muslim mendapatkan bekalan makanan halal yang sukar diperoleh di sini.

"Sambutan diterima amat menggalakkan terutama dalam kalangan rakyat Malaysia dan Muslim yang tinggal di Sydney. Malah, ada pelanggan sanggup memandu dari Canberra untuk mendapatkan pelbagai barang keperluan di sini," katanya.

Menurutnya, sejak beroperasi, kedai terbabit menjadi antara lokasi tumpuan rakyat Malaysia.

"Boleh dikatakan, apabila mereka teringin merasa makanan Malaysia, di sini antara tempat dituju.

"Kami juga dapat membantu masyarakat Malaysia di sini menjana pendapatan dengan menyediakan pelbagai jenis makanan tradisi," katanya.

Ditanya perancangan masa hadapan, pihaknya berhasrat menambah lebih banyak produk halal dari Malaysia.

Sempena sambutan Aidilfitri, Malaysian Groceries turut menganjurkan rumah terbuka yang diadakan serentak dengan majlis perkahwinan dan akikah baru-baru ini.

Katanya, program tahunan ini bertujuan mengumpulkan rakyat Malaysia di Sydney dan meraikan pelanggan Malaysian Groceries.

"Sempena program ini, kami bergotong-royong membuat persiapan dan menyediakan pelbagai hidangan Malaysia termasuk nasi minyak, laksa, bihun sup dan sebagainya.

"Alhamdulillah sambutan amat menggalakkan apabila 2,000 jemputan hadir memeriahkan program rumah terbuka ini," katanya.

Disiarkan pada: May 28, 2022 @ 6:45am
d