rap

Demi kisah sekolah sampah

Oleh Norhayati Nordin

WALAUPUN menjadi 'pengarah pengganti', namun ia tidak menjadi halangan buat Ebi Kornelis, 38, menghasilkan telefilem Sekolah Sampah terbitan Arie Zaharie Production yang disiarkan Astro Citra baru-baru ini dengan sebaik yang mungkin.

Apatah lagi, bagi naib juara Akademi Fantasia musim kelima (AF5) pada 2007 ini, dia sendiri mempunyai pengalaman peribadi yang pernah melalui kehidupan serba kekurangan ketika kecil dulu.

Ebi atau nama sebenarnya Ebi Kornelis Firdaus Yaimal berkata, walaupun dia tidak mengenali barisan pelakon yang dipilih bekerjasama dengannya ketika itu, dia bersedia menggalas tanggungjawab pengarah telefilem Sekolah Sampah dengan ikhlas.

"Ketika penerbit, Arie Zaharie Production menghubungi saya minta jadi 'pengarah pengganti' untuk naskhah ini, memang saya mahu menerimanya dengan rela hati. Ia kerana, saya amat sukakan jalan ceritanya.

"Jujur diakui, saya ambil masa agak singkat iaitu dalam tempoh 12 jam saja sebelum memulakan penggambaran pada Mac lalu untuk memahami dengan jelas penceritaan kisahnya dan ia sebuah karya bagus hasil tulisan penulis skrip, Jo Sidek.

"Saya amat tertarik dan bersyukur diberi peluang sebagai pengarahnya. Malah, lebih menarik lagi saya juga mendapat barisan pelakon yang mantap. Macam gandingan Aliff Aziz dan isterinya, Bella Astillah sangat membantu dan memudahkan kerja saya dengan kerjasama baik," katanya.

Ditanya juga mengenai pembabitan pelakon kanak-kanak, Ebi berkata, dia mulanya risau juga kerana tidak kenal dengan semua mereka. Bagaimanapun, dia sekali lagi bersyukur apabila pihak produksi sudah memilih barisan pelakon cilik yang berbakat besar.

"Walaupun kisah telefilem Sekolah Sampah ini lebih banyak bermain di kawasan pembuangan sampah, namun komitmen diberikan semua pelakon cilik terbabit wajar dipuji. Mereka sangat terbuka, positif dan sedikit pun tidak merungut perlu bermain dengan sampah sarap serta bau busuk.

"Begitu juga mereka semua (pelakon) akur apabila saya mempercepatkan 'call time' untuk penggambaran seawal jam 6 pagi berbanding waktu sebelumnya. Bagi saya, jika penggambaran dimulakan jam 8 pagi semestinya, matahari baharu naik dan cuaca sudah mula panas," katanya.

Mengulas juga harapannya Ebi yang dikenali sebagai penyanyi dan komposer berkata, telefilem Sekolah Sampah ini mengangkat kisah benar penduduk di sebuah penempatan dikenali sebagai Kampung Sampah di Sandakan, Sabah.

"Kawasan ini agak ketinggalan dari aspek pendidikan kerana penduduknya berpendapatan rendah serta kurang berkemampuan. Malah, kanak-kanak di situ rata-rata melakukan pekerjaan harian, mengutip sampah.

"Apa pun, bagi saya telefilem kisah masyarakat sebegini perlu banyak diketengahkan kepada penonton supaya mereka lebih mensyukuri nikmat hidup dimiliki. Jika mereka berasa hidup agak susah, sebenarnya ada orang lain lagi yang kurang bernasib baik," katanya.

Menurut Ebi, dia juga mengharapkan naskhah telefilem Sekolah Sampah mampu meraih pengiktirafan di majlis anugerah hiburan. Jelasnya, dia menyimpan impian supaya karya itu dapat dipertandingkan sehingga peringkat anugerah di luar negara dan antarabangsa.

Selain Aliff dan Bella, telefilem Sekolah Sampah turut dibintangi barisan pelakon lain iaitu Aidil Astillah, Pasqueletta Joan, Rubisa Tiasin dan ramai lagi. Kata Ebi, naskhah Sekolah Sampah itu nyata terbaik dan tidak menghampakan penonton.

Disiarkan pada: May 30, 2022 @ 6:30am
d