mutakhir

Gantung lesen kilang sawit cemar Sungai Bahai

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Kluang: Lesen kilang pemprosesan kelapa sawit digantung serta merta manakala kelengkapan operasinya disita Jabatan Alam Sekitar (JAS) selepas didapati mencemarkan Sungai Bahai.

Menurut kenyataan JAS, punca pencemaran adalah dari kawasan kilang sawit di mana air larutan resapan (lecet) yang terhasil mengalir tanpa kawalan ke alur air Sungai Bahai.

"Susulan aduan awam yang diterima, JAS Cawangan Kluang telah menjalankan siasatan ke lokasi diadu pada 7 dan 8 Jun 2022 untuk mengenal pasti punca pencemaran," katanya.

Katanya, pihak kilang juga didapati menggunakan kaedah pelupusan dengan menyembur ke lorong pelepah dan tidak terus ke atas tanah sebagaimana ditetapkan dalam syarat lesen.

"Sehubungan itu, pihak kilang sawit telah dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan dan lesen kilang sawit telah digantung serta merta," katanya.

Menurut kenyataan itu, pihak industri terutamanya pemilik kilang sawit adalah diingatkan agar sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan syarat-syarat lesen yang ditetapkan oleh pihak JAS.

Disiarkan pada: June 9, 2022 @ 3:30pm
d