mutakhir

Kecederaan Bella disedari ketika bertemu di Rumah Bonda - Saksi

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: Saksi pendakwaan kelapan perbicaraan kes Bella, Suhana Zam, 40, memaklumkan kecederaan yang dialami remaja sindrom Down itu diketahuinya ketika bertemu mangsa di Rumah Bonda.

Menurutnya, punca kecederaan dialami Bella tidak diketahui selain daripada kesan cedera yang dilihat pada wajahnya.

Kenyataan itu dibuat Suhana ketika menjawab soalan dikemukakan peguam bela, Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili Siti Bainun Ahd Razali.

Sementara pada prosiding sebelah petang, saksi sama memberitahu daripada pemerhatiannya tindakan Siti Bainun yang menyuruh Bella makan cili, berdiri dan duduk berjam-jam, serta dijerit wanita itu adalah satu penderaan.

Ketika disoal peguam bela Farhan Maaruf, saksi itu tidak pernah melihat Bella dipukul dan disimbah air panas oleh Siti Bainun.

Katanya, sepanjang pengetahuannya dia hanya nampak Bella berdiri dan bukan dipukul seperti yang dicadangkan Farhan.

Menurutnya, dia juga tidak mengetahui punca kecederaan pada leher Bella yang dilihat pada Mei tahun lalu.

Perbicaraan disambung Khamis ini dengan pendakwaan juga diminta bersedia untuk saksi lain.

Disiarkan pada: June 13, 2022 @ 6:44pm
d