Bola Sepak

Kelibat Jaami di Wisma FAM cetus tanda tanya

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Pemain remaja berpangkalan di England, Jaami Qureshi mencetuskan tanda tanya apabila mengunjungi Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, hari ini.

Perkara itu dikongsikan bapa Jaami, Perviz Qureshi menerusi laman Instagram Story miliknya yang menunjukkan video pendek anaknya keluar dari sebuah kereta.

Jaami kemudian mengambil gambar di wisma itu berlatar belakang logo FAM.

Pada Januari lalu, Arena Metro melaporkan Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar sudah menghubungi Perviz serta pengurus Akademi Brighton & Hove Albion, John Morling dalam membincangkan panggilan ke pusat latihan bagi skuad Bawah 19 tahun kebangsaan menjelang Kejohanan Asia AFC Bawah 19 tahun.

Namun, bapa pemain itu mahu Jaami diberi keistimewaan taraf kerakyatan tanpa perlu melalui proses penilaian teknikal daripada jurulatih ketika itu, Brad Maloney.

Terdahulu terdapat laporan mengatakan pasukan negara boleh melupakan untuk menggunakan khidmat Jaami apabila pemain itu dikatakan bakal beraksi bersama skuad kebangsaan Iraq di peringkat antarabangsa.

Situasi terbabit disahkan apabila Jaami memberikan mesej menerusi laman sosial miliknya kepada peminat Iraq apabila dia mengucapkan terima kasih di atas segala sokongan diberikan kepadanya.

Difahamkan Jaami sudah dilepaskan oleh Brighton & Hove Albion.

Disiarkan pada: June 16, 2022 @ 7:52pm
d