mutakhir

Bomba selamatkan 2 pemandu terperangkap banjir

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Hujan lebat berterusan hampir tiga jam menyebabkan beberapa kawasan perumahan dan jalan raya ditenggelami banjir sedalam hampir satu meter tadi.

Menurut mangsa yang juga penduduk Bandar Springhill, Murizan Mohamad, 45, hujan berterusan sejak awal pagi tadi menyebabkan jalan berhampiran rumahnya tidak boleh dilalui.

"Mujur kawasan rumah saya agak tinggi dan banjir hanya mencecah halaman rumah.

"Keadaan ini berlaku mungkin kerana longkang tersumbat namun banjir di kawasan ini memang kerap berlaku jika hujan lebat lebih daripada satu jam," katanya.

Katanya, dia berharap sesuatu perlu dilakukan pihak berkuasa tempatan dilakukan supaya banjir tidak berulang.

Seorang pengguna jalan raya, Saraj Mohamad Crinbakas, 57, berkata, keretanya tersangkut selepas air naik mendadak ketika dia dalam perjalanan ke Lukut.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa dan terperangkap dalam banjir ketika dalam perjalanan ke Lukut atas urusan kerja pagi tadi.

"Kawasan ini memang kerap dinaiki air dan ini kali pertama saya terperangkap banjir ketika sedang memandu," ujarnya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mazlan Abu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum bergegas ke lokasi kejadian pada jam 9.50 pagi tadi.

"Terdapat kenderaan jenis Proton X70 dan Mitsubishi Pajero terperangkap di dalam banjir. Kedua-dua pemandunya dapat diselamatkan. Pihak bomba masih meneruskan pemantauan di kawasan banjir," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 2:24pm
d