mutakhir

Rahmat ekonomi digital

Oleh Hayati Ibrahim

Putrajaya: Golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dalam piramid pendapatan adalah antara kumpulan terbesar yang mendapat manfaat daripada inisiatif ekonomi digital negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, manfaat yang mereka peroleh adalah daripada inisiatif seperti eRezeki yang membolehkan mereka memperoleh pendapatan sampingan menerusi pendekatan digital.

Menurutnya, sejak eRezeki dilancarkan awal tahun ini, ia sudah mempunyai cerita kejayaan termasuk seorang lelaki yang bekerja sendiri di Kuala Lumpur iaitu Yazid Mohd Zaiki yang memperoleh pendapatan hampir RM2,000 sepanjang dua bulan dengan hanya melaksanakan tugas digital yang mudah.

Malah katanya Setiausaha Eksekutif dari Sarawak Bong NN juga mampu memperoleh pendapatan tambahan lebih RM600 menerusi pembabitan dalam industri digital.

“Selain pencapaian dalam ekonomi modal, manfaat daripada inisiatif ekonomi digital sudah mula dinikmati rakyat dan organisasi yang penting

“Saya turut dimaklumkan, Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) juga akan menggunakan konsep pendapatan digital untuk rakyat ke peringkat lebih tinggi dengan pengenalan eUsahawan,” katanya ketika berucap sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia Malaysia (MSC Malaysia) ke-27, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Mohd Salleh Said Keruak, menteri dan timbalan menteri Kabinet lain, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Ketua Pegawai Eksekutif MDeC Datuk Yasmin Mahmood.

Najib berkata, usaha bersepadu untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menerusi digital, terutama e-dagang juga akan dilaksanakan bagi meningkatkan keupayaan pendapatan dan taraf hidup rakyat.

Selain itu, beliau berkata, Malaysia juga meletakkan asas untuk mengambil kesempatan daripada pelbagai peluang yang ditawarkan oleh teknologi terkini seperti Analisis Data Besar (BDA) dan Internet untuk segalanya (IoT), yang sudah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Menurutnya, bagi merangsang digital ekonomi, adalah penting untuk negara mewujudkan ekosistem yang kukuh dan mempunyai bakat komunikasi teknologi maklumat (ICT) bertaraf dunia bagi memenuhi permintaan teknologi yang semakin berkembang dan kemudahan digital untuk perhubungan lebih lancar.

“Sehubungan itu, golongan belia di negara ini perlu celik digital, selain memberi penekanan kepada pelajar mengenai kemahiran literasi digital, pemikiran pengkomputeran seperti pengaturcaraan dan pengekodan serta meningkatkan kebolehan, kesedaran dan minat dalam ICT serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

Dalam pada itu, Najib berkata, sumbangan industri ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan pengukuhan apabila meningkat dari 16.38 peratus pada 2013 kepada 17 peratus tahun lalu.

Beliau berkata, angka itu membuktikan ekonomi digital negara berada pada landasan yang tepat apabila sasaran 17 peratus yang ditetapkan oleh Digital Malaysia menjelang 2020 sudah dicapai tahun lalu.

“Asas utama kepada industri ini adalah MSC Malaysia dan sejak penubuhannya pada 1996, MSC Malaysia sudah menyumbang lebih RM295 bilion kepada perolehan ekonomi negara; menarik pelaburan bernilai RM283 bilion dan mewujudkan 147,000 pekerjaan.

“MSC Malaysia juga terus menarik pelaburan daripada syarikat bertaraf dunia dalam pelbagai industri,” katanya.

Disiarkan pada: October 16, 2015 @ 8:59am
d