WM

Kelumpuhan wajah

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

MASYARAKAT di seluruh dunia baru-baru ini dikejutkan dengan berita penyanyi popular, Justin Bieber mengalami kelumpuhan muka akibat Sindrom Ramsay Hunt (RHS).

Menerusi video yang dimuat naik di laman sosial, Bieber turut berkongsi keadaan matanya tidak dapat berkelip dengan betul dan sukar untuk senyum.

Ia memaksa penyanyi berusia 28 tahun itu mengumumkan untuk membatalkan beberapa siri konsert jelajahnya dan berkemungkinan konsert World Tour Justin Bieber di Malaysia pada Oktober depan dalam senarai mungkin dibatalkan atau ditangguhkan.

Keadaan itu bukan sahaja mengejutkan peminat setia penyanyi itu malah membuatkan masyarakat seluruh dunia tertanya-tanya apakah sebenarnya RHS?

Berkongsi maklumat mengenai perkara itu, Pakar Bedah Otorhinolaryngologi, Kepala dan Leher, Hospital Pakar KPJ Tawakkal KL, Dr Tengku Ezulia Tengku Nun Ahmad berkata, RHS adalah komplikasi daripada jangkitan virus varicella-zoster (VZV) yang mengakibatkan keradangan pada ganglion saraf kranial VII iaitu saraf muka.

Kebiasaannya kata Dr Tengku Ezulia, pesakit akan mengalami triad lumpuh separuh muka, sakit telinga dan ruam pada telinga atau mulut.

"Sindrom ini dinamakan oleh James Ramsay Hunt iaitu seorang pakar saraf Amerika. Beliau mendokumenkan penemuan klinikal kelumpuhan muka dan ruam.

"Beliau juga menjelaskan tanda-tanda lain yang boleh berlaku seperti telinga berdesing (tinnitus), kehilangan pendengaran dan terasa seperti berpusing (vertigo)," katanya.

Jelas Dr Tengku Ezulia lagi, sindrom itu disebabkan jangkitan VZV iaitu virus sama yang menyebabkan cacar air.

Selepas jangkitan cacar air hilang, virus VZV masih kekal terpendam dalam saraf dan boleh diaktifkan semula di kemudian hari, contohnya ketika badan mengalami 'stress' atau rendah imuniti.

Ia boleh membawa kepada 'herpes zoster' iaitu kayap di bahagian badan atau dipanggil sebagai Sindrom Ramsay Hunt apabila membabitkan kelumpuhan muka.

"Sindrom ini tidak begitu kerap berlaku dan dianggarkan kira-kira lima daripada setiap 100,000 orang mendapat RHS setiap tahun.

"Ia lebih kerap berlaku kepada mereka yang berusia 60 tahun ke atas dan mempunyai masalah lain seperti tekanan, rendah imuniti badan, menjalani kemoterapi, malnurisi dan sebagainya.

"Menurut kajian klinikal juga, tiada perbezaan ketara dari segi bilangan pesakit yang mengalami sama ada lelaki atau wanita," katanya.

Dr Tengku Ezulia berkata, rawatan awal RHS biasanya membabitkan ubat antivirus dan kortikosteroid.

Rawatan lanjut juga diberikan untuk simptom khusus bagi setiap pesakit, termasuk ubat tahan sakit bertujuan mengurangkan sakit neuralgik dan ubat penahan vertigo.

Selain itu, pesakit juga perlu mengelakkan kecederaan pada kornea mata.

"Ini kerana ketidakupayaan untuk menutup mata boleh menyebabkan kornea menjadi kering dan mengalami iritasi benda asing.

"Sekiranya tidak dirawat dengan betul, ulser kornea dan hilang penglihatan boleh berlaku.

"Setakat hari ini, tiada kaedah rawatan lain yang lebih pantas hasilnya," katanya.

Menurut Dr Tengku Ezulia, tempoh RHS bergantung kepada tahap keadaan pesakit itu sendiri dan seberapa cepat mereka menerima rawatan.

Ini kerana, dianggarkan kira-kira 70 peratus pesakit boleh sembuh sepenuhnya dalam beberapa minggu dan peratusan adalah baik juga sekiranya pesakit itu mendapat rawatan awal.

Kata beliau, pesakit yang mempunyai pelbagai komorbiditi seperti diabetes, usia tua, tekanan darah tinggi dan lemah imuniti badan, mungkin mengambil masa lebih lama untuk pulih.

"Dianggarkan kira-kira 30 peratus pesakit boleh mengalami komplikasi jangka panjang seperti lumpuh muka kekal dan sinkenesis (tindak balas saraf yang tidak normal).

"Dalam hal ini, pendekatan konservatif termasuk urutan muka, fisioterapi dan rawatan dengan toksin botulinum boleh membantu," katanya.

Sementara itu, Dr Tengku Ezulia berkata, seperti kayap, RHS berpotensi untuk berulang (walaupun jarang berlaku) kerana virus itu masih terdapat dalam saraf dan boleh diaktifkan pada masa hadapan.

Justeru kata beliau, penggunaan vaksin varicella boleh mengurangkan kemungkinan mendapat cacar air iaitu punca virus VZV masuk ke saraf dan boleh diaktifkan pada masa hadapan.

"Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu mendapat cacar air, dia berpotensi untuk mengalami pengaktifan semula virus dan dengan itu boleh menghidap kayap dan atau RHS (sama ada kayap atau RHS sahaja/kayap dan RHS sekali gus)

"Sekiranya mengalaminya, segera mendapatkan rawatan awal bagi meningkatkan peluang sembuh sepenuhnya dan mengelakkan komplikasi jangka panjang," katanya.

Disiarkan pada: June 28, 2022 @ 7:00am
d