bisnes

Bank semak semula kadar pinjaman

SEJURUS selepas Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 2.25 peratus daripada 2.00 peratus, sebahagian besar bank utama di Malaysia mengumumkan semakan semula kadar pinjaman dan pembiayaan ditawarkan.

Affin Bank Bhd, Affin Islamic Bank Bhd dan Affin Hwang Investment Bank menyemak semula kadar rujukan pinjaman/pembiayaan mereka sebanyak 25 mata asas (bps) atau 0.25 peratus, berkuat kuasa 8 Julai 2022.

Menurut Affin Bank, ia dibuat susulan pengumuman BNM untuk menaikkan OPR kepada 2.25 peratus daripada 2.00 peratus pada 6 Julai 2022.

"Selari perubahan itu, Kadar Deposit Tetap Affin Bank dan Kadar Deposit-i Berjangka Affin Islamic juga dinaikkan berkuat kuasa 8 Julai 2022," katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, RHB Banking Group juga menyemak semula Kadar Asas (BR) dan Kadar Pinjaman/Pembiayaan Asas (BLR/BFR) yang naik 25 bps berkuat kuasa 13 Julai 2022 selaras kenaikan OPR.

RHB Bank Bhd, RHB Islamic Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd meningkatkan BR mereka kepada 3.00 peratus daripada 2.75 peratus setahun, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Kumpulan itu juga menyemak semula BLR/BFR kepada 5.95 peratus daripada 5.70 peratus setahun.

Selaras semakan itu, kadar simpanan tetap RHB Bank dan RHB Islamic Bank juga diselaras naik berkuat kuasa tarikh sama.

Dalam pada itu, Public Bank melakukan pelarasan semula dengan menaikkan BR dan BLR/BFR sebanyak 25 bps atau 0.25 peratus berkuat kuasa 8 Julai 2022.

"BR bank ini dinaikkan kepada 2.77 peratus daripada 2.52 peratus manakala BLR/BFR dinaikkan kepada 5.97 peratus daripada 5.72 peratus.

"Pada masa sama, kadar simpanan tetap Public Bank turut dinaikkan sewajarnya sebanyak 0.25 peratus membabitkan semua tempoh yang turut berkuat kuasa pada tarikh sama," katanya.

Selain itu, CIMB Bank dan CIMB Islamic menaikkan 25 bps dalam BR dan Kadar Deposit Tetap/Kadar Pendapatan Pulangan Tetap Account-i.

Semua kemudahan pembiayaan berdasarkan BLR dan BFR juga dinaikkan 0.25 peratus dengan semua perubahan kadar berkuat kuasa pada 13 Julai 2022.

Dalam pada itu, Maybank juga melaras naik BR dan BLR sebanyak 25 bps berkuat kuasa 8 Julai 2022.

BR Maybank lebih tinggi daripada 2.00 peratus setahun kepada 2.25 peratus setahun manakala BLR dilaras daripada 5.65 peratus setahun kepada 5.90 peratus setahun.

Kadar Asas Islam dan Kadar Pembiayaan Asas juga dinaikkan 25 mata asas daripada 2.00 peratus setahun kepada 2.25 peratus setahun dan daripada 5.65 peratus setahun kepada 5.9 peratus setahun masing-masing.

Disiarkan pada: July 8, 2022 @ 7:18am
d