mutakhir

Pemandu tercampak keluar sebelum Perodua Kancil terbakar akibat berlanggar dengan lori

Oleh Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Seorang lelaki terselamat selepas tercampak keluar daripada Perodua Kancil dipandunya sebelum kenderaan berkenaan terbakar sejurus berlanggar dengan lori syarikat pembersihan berhampiran sebuah pasar raya di Mergong di sini, pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 6.40 pagi.

Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Radzi Abu Talib kemudiannya dikerah ke lokasi.

"Kereta terbabit terbakar sejurus perlanggaran. Akibat perlanggaran itu, pemandu kereta tercampak keluar.

"Kami memberi rawatan awal kepada pemandu kereta berkenaan yang berusia 39 tahun sebelum diserah kepada kakitangan perubatan untuk rawatan susulan," katanya pada kenyataan.

Mohamadul Ehsan berkata, Perodua Kancil itu 90 peratus musnah dan operasi tamat jam 7.30 pagi.

Disiarkan pada: July 9, 2022 @ 12:59pm
d