mutakhir

PM lancar Blueprint Perumahan 3.0 [METROTV]

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan (Mindef) menyasarkan pembinaan 12,733 Rumah Keluarga Malaysia Angkatan Tentera (RKMAT) baharu dengan pelaksanaan Blueprint Perumahan 3.0 (BP3.0).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, BP3.0 adalah agenda perumahan menyeluruh bagi menambah baik aspek kebajikan warga ATM termasuk veteran dan warga awam yang mendokong aspirasi Keluarga Malaysia dalam melestarikan kebajikan warga kerja pertahanan.

Beliau berkata, kerajaan menyanjung tinggi pengorbanan warga kerja pertahanan yang tidak menghiraukan penat lelah untuk mempertahankan keamanan negara tanpa mengira masa dan tempat, malah sanggup meninggalkan keluarga untuk berjuang di perbatasan.

"Kerajaan melalui Kementerian Pertahanan sentiasa memberi keutamaan kepada agenda perumahan warga ATM dan warga awam Mindef. Ini keutamaan, tiada kompromi.

"Secara keseluruhannya, hasil daripada pelaksanaan Blueprint Perumahan 1.0 (BP1.0) dan Blueprint Perumahan 2.0 (BP2.0) sebanyak 4,200 unit RKMAT baru sudah berjaya disiapkan dan diduduki.

"Saya juga dimaklumkan bahawa 552 unit RKMAT lagi dijangka siap, boleh diduduki selewat-lewatnya pertengahan dan penghujung tahun 2022 serta kira-kira 1,474 RKMAT sudah diselenggara.

"Ia tidak termasuk pembinaan rumah mampu milik di bawah program Satu Anggota Satu Rumah atau SASaR dan inisiatif perumahan veteran. Alhamdulillah, kita kini bergerak di landasan yang betul," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Blueprint Perumahan 3.0 Kementerian Pertahanan di Wisma Perwira ATM, di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Perdana Menteri berkata, bagi meneruskan kesinambungan BP1.0 dan BP2.0, BP3.0 pula akan menumpukan kepada penyediaan baki keperluan 12,733 unit RKMAT seluruh negara menerusi lima fasa bermula 2023 hingga 2030.

"Di bawah program selenggara dan naik taraf, sasaran 80 peratus daripada 7, 292 unit RKMAT sedia ada akan dinaik taraf termasuk pengubahsuaian daripada dua unit kepada satu unit. Pada masa yang sama, perabot lama yang telah rosak akan diganti dengan perabot yang baharu.

"Di bawah projek SASaR sahaja, sebanyak 3,500 unit sedang dibina di Sungai Besi dan dijangka siap pada tahun 2025.

"Selain itu, sebanyak 6,400 unit di Kem Genting Klang dan 974 unit di Kem Wardieburn turut akan dibina di bawah Blueprint 3.0," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga menyuarakan komitmen untuk menyediakan kuota khas kepada warga pertahanan termasuk veteran bagi setiap projek rumah mampu milik mereka.

Katanya, di bawah program Inisiatif Perumahan Veteran ATM, 1,700 unit akan dibina demi kesejahteraan veteran ATM di seluruh negara.

"Dalam masa yang sama, lebih banyak rumah akan diselenggara dengan nisbah sasarannya satu unit baru dibina, empat unit akan dinaik taraf.

"Malah saya difahamkan, sebanyak 100 buah rumah veteran disasarkan untuk dibaik pulih dan dibina baharu pada tahun ini. Syabas kepada Mindef dan ATM khususnya Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM," katanya.

Apa pun, katanya, kerajaan sedar beban kewangan yang perlu ditanggung bagi melaksanakannya.

Oleh itu, beliau berkata, kaedah-kaedah perolehan secara penswastaan seperti 'bina-pajak senggara-pindah' (BLMT) akan diberi pertimbangan supaya sebahagian besar matlamat BP3.0 dapat dicapai.

Disiarkan pada: July 13, 2022 @ 5:26pm
d