Bola Sepak

Dollah tuntut pemain Sri Pahang bangkit

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh tidak mahu skuad itu bermain sambil lewa susulan tiada penyingkiran dalam saingan Liga Super dengan penambahan 18 pasukan bertanding, musim depan.

Justeru, bekas pemain kebangsaan itu berkata, kebangkitan perlu dipersembahkan anak buahnya bagi menamatkan saingan Liga Super pada kedudukan terbaik.

"Kita kena perbaiki segala kelemahan dan bagi saya, walaupun tiada penyingkiran, pasukan perlu bangkit.

"Kebangkitan dalam saingan Liga Super akan membawa Sri Pahang beraksi dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

"Berakhirnya misi di Piala FA selepas tewas kepada Penang FC pada suku akhir tidak boleh membuat pemain berasa kecewa," katanya.

Sebelum ini, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan 18 pasukan bertanding dalam saingan Liga Super musim 2023 yang bermakna tiada penyingkiran pada saingan musim ini.

Dollah yang juga bekas jurulatih kebangsaan berkata, dengan baki saingan Liga Super, anak buahnya perlu memberikan segalanya untuk melonjakkan kedudukan pasukan.

Beliau percaya skuad itu mampu melakukannya dan kini hanya perlu menambah baik dan memperbaiki segala kelemahan.

"Tiada yang mustahil untuk Sri Pahang bangkit jika tempo permainan dapat dipertingkatkan," katanya.

Selepas mengharungi 11 perlawanan, skuad Tok Gajah berada di kedudukan kedua tercorot dengan mengutip lapan mata.

Disiarkan pada: July 25, 2022 @ 2:37pm
d