mutakhir

Gangguan elektrik: DBKL arah warden trafik awasi jalan utama

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menasihatkan pengguna jalan raya berhati-hati berikutan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan di sini.

DBKL dalam pemakluman di Facebook berkata, pihaknya sudah mengarahkan petugas warden trafik bagi mengawal dan mengawasi trafik di jalan utama.

"Bekalan eletrik di beberapa kawasan di Lembah Klang dilapor terputus termasuk Kuala Lumpur.

"Insiden ini menyebabkan lampu isyarat di sekitar ibu kota tidak berfungsi dan mengalami gangguan," katanya.

Menurutnya, pengguna jalan raya diminta berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak dingini berlaku.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan beberapa kawasan di Lembah Klang mengalami gangguan bekalan elektrik hari ini.

Rata-rata pengguna di media sosial memaklumkan perkara itu berlaku di beberapa kawasan secara mengejut.

Sementara itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan terdapat gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan.

"Pasukan teknikal kami sedang mengenal pasti punca kejadian. Usaha sedang giat dijalankan untuk memulihkan bekalan.

"Kami memohon maaf atas kesulitan dialami oleh pengguna ketika gangguan bekalan," katanya.

Berita berkaitan:

Disiarkan pada: July 27, 2022 @ 2:19pm
d