Sukan Lain

Djokovic sedia bertarung di Terbuka AS

Oleh AFP

Paris: Pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic berkata, dia sedia bertanding di Terbuka Amerika Syarikat (AS) walaupun keengganan mendapatkan vaksin boleh menyebabkan dia dihalang daripada memasuki negara itu.

Di bawah peraturan terkini, semua pelawat ke AS perlu lengkap vaksinasi Covid-19.

Bintang Serbia itu yang sebelum ini muncul juara tiga kali di New York dan masih segar selepas merangkul gelaran ketujuh Wimbledon tetap enggan mengambil vaksin, walaupun tindakan itu menyebabkan dia dihantar pulang dari Melbourne, awal Januari lalu dan tidak dibenarkan bertanding di Terbuka Australia.

"Saya membuat persediaan jika dibenarkan bertanding sambil menanti berita jika ada ruang untuk saya ke AS. Bersilang jari!," tulis Djokovic di Instagram (IG) bersama video dia sedang berlatih.

Lebih 43,000 orang menandatangani petisyen menggesa pihak berkuasa membenarkan juara 21 kali Grand Slam itu untuk bermain di Terbuka AS, bermula 29 Ogos ini.

"Saya mahu mengambil masa sejenak dan berterima kasih kepada smeua yang menghantar mesej sokongan dan cinta dari seluruh dunia kebelakangan ini," kata pemain berusia 35 tahun itu.

"Saya tidak menjangkakan sokongan ini dan situasi ini menyebabkan saya bingung. Syaa hanya mahu berterima kasih. Rasa sangat istimewa apabila ramai orang mengambil berat karier tenis saya dalam bentuk sokongan dan kecintaan serta mengharapkan saya terus bermain."

Disiarkan pada: July 31, 2022 @ 10:51am
d