mutakhir

Kes kematian akibat Covid-19 meningkat 22.4 peratus

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

Putrajaya: Bilangan kes kematian akibat jangkitan Covid-19 di negara ini meningkat sebanyak 22.4 peratus pada Minggu Epidemiologi (ME) 31/2022 dari 31 Julai hingga Sabtu lalu.

Memperincikan mengenai peratusan itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada minggu berkenaan, sebanyak 60 kes kematian dilaporkan berbanding minggu sebelumnya 49 kes.

Menurutnya, turut menunjukkan peningkatan adalah jumlah kes baharu yang meningkat sebanyak 0.8 peratus atau daripada 28,339 kes kepada 28,554 kes.

"Daripada jumlah itu, kes tempatan meningkat sebanyak 0.8 peratus (28,286 kes kepada 28,499 kes) dengan kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara pula meningkat sebanyak 3.8 peratus (53 kes kepada 55 kes).

"Purata kes aktif setiap hari bagi ME 31/2022 adalah 45,941 iaitu terdapat penurunan sebanyak 2.6 peratus berbanding minggu sebelumnya," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, peningkatan turut dilihat pada penggunaan katil bukan kritikal yang meningkat sebanyak dua peratus.

"Bagi penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi, ia tiada perubahan dan kekal kepada 14 peratus manakala penggunaan katil di Pusat Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) menurun sebanyak dua peratus.

"Peratusan pesakit Covid-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 0.1 peratus berbanding minggu sebelumnya.

"Jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk pada ME 31/2022 bagi kategori satu dan dua kekal di tahap 3.8 peratus manakala kategori tiga hingga lima kekal 3.5 peratus.

"Bagi kes positif Covid-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara, ia menunjukkan sedikit penurunan pada kadar 1.7 peratus serta kes yang menjalani pemantauan di rumah menurun 1.5 peratus.

"Selain itu, kes Covid-19 yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital menurun sebanyak 20.9 peratus serta kes yang dipantau dengan CAC Maya meningkat 2.2 peratus iaitu daripada 64,743 kes kepada 66,182 kes," katanya.

Mengulas hasil survelan Covid-19 di lokasi sentinel seluruh negara, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 118 sampel Penyakit Seperti Influenza (ILI) dikesan positif dengan kadar positif sebanyak 15.3 peratus.

"Bagaimanapun tiada sampel pesakit Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) yang dikesan positif Covid-19 dengan kadar positif kekal sifar peratus," katanya.

Disiarkan pada: August 8, 2022 @ 12:42pm
d