Sukan Lain

Serena umum detik persaraan

Oleh Agensi

New York: Legenda tenis wanita Amerika Syarikat (AS), Serena Williams berkata dia akan meninggalkan sukan tenis dan mahu bersara selepas tamat Terbuka AS bulan ini.

Serena yang hanya beraksi kali kedua acara perseorangan sejak Wimbledon pada Jun lalu menewaskan pemain Sepanyol, Nuria Parrizas Diaz untuk mara ke pusingan kedua Terbuka Toronto awal pagi tadi.

Namun pemain berusia 40 tahun itu berkata selepas tamat perlawanan dia mula memikirkan persaraan dan Terbuka AS mungkin menjadi kejohanan terakhirnya.

"Dalam kehidupan ada detik tertentu yang memerlukan kita bergerak ke arah berlainan," katanya di Instagram.

"Detik itu selalunya sukar terutamanya membabitkan perkara yang anda sangat sukai. Saya sangat nikmati tenis.

"Tetapi detik itu sudah bermula. Saya perlu fokus menjadi ibu dan mempunyai lebih masa bersama keluarga tetapi saya tetap Serena yang ceria. Saya akan menikmatinya beberapa minggu lagi."

Serena menang Grand Slam terakhir pada 2017 dan sejak itu memburu gelaran ke-24 yang bakal menjadikannya sebaris dengan legenda Margaret Court selaku pemenang terbanyak kejohanan utama.

Disiarkan pada: August 10, 2022 @ 11:40am
d