Asia

Korea Utara tamatkan mandat pelitup muka

Oleh Agensi

Seoul: Korea Utara telah menarik balik mandat pemakaian pelitup muka dan melonggarkan beberapa sekatan, sehari selepas pemimpinnya, Kim Jong Un mengumumkan 'kemenangan' menentang Covid-19.

Pengumuman itu dibuat selepas Pyongyang pada awal minggu ini menyalahkan Seoul yang menjadi punca wabak Covid-19 di Korea Utara dan mengancam untuk 'menghapsukan' pihak berkuasa Korea Selatan, jika perlu.

Korea Central News Agency (KCNA) melaporkan, sekatan berkaitan Covid-19 dilonggarkan berikutan 'krisis kesihatan di negara berkenaan berjaya dikawal dan keseluruhan jajahan Korea Utara bersih daripada virus itu dalam tempoh yang pendek'.

"Kewajipan pemakaian pelitup muka telah ditarik balik di semua kawasan kecuali dalam kalangan barisan hadapan dan bandar dan daerah sempadan, memandangkan seluruh negara telah bertukar menjadi zon bebas wabak," lapor KCNA.

Korea Utara mengisytiharkan "kemenangan bersinar" ke atas Covid-19 awal minggu ini hanya beberapa bulan selepas mengumumkan kes pertamanya pada Mei.

Penjarakan sosial dan langkah antivirus lain juga ditarik balik kecuali kawasan sempadan.

Namun, mereka yang mempunyai gejala penyakit pernafasan disyorkan memakai pelitup muka dan rakyat Korea Utara digesa "kekal berwaspada" terhadap "perkara tidak normal" yang merujuk kepada risalah propaganda dari Korea Selatan.

Walaupun larangan berkuat kuasa pada 2021, aktivis Korea Selatan selama bertahun-tahun telah menerbangkan belon yang membawa risalah propaganda dan dolar ke sempadan, yang telah lama dibantah oleh Korea Utara.

Kim Yo Jong, saudara perempuan Kim Jong Un yang berkuasa, pada Rabu menyalahkan aktiviti ini untuk wabak Covid-19 di Korea Utara, berikrar membalas dendam "maut" terhadap Seoul.

Kim Yo Jong juga mendedahkan bahawa pemimpin tertinggi itu sendiri telah jatuh sakit semasa wabak itu dan mengalami "demam panas".

Korea Utara telah merekodkan hampir 4.8 juta kes "demam" - dengan sebahagian kecil dikenal pasti sebagai Covid-19 - sejak akhir April, dengan hanya 74 kematian, menurut KCNA.

Pakar, termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia, telah lama mempersoalkan statistik Covid-19 Pyongyang.

Korea Utara mempunyai salah satu sistem penjagaan kesihatan yang paling teruk di dunia, dengan hospital yang kurang kelengkapan dan beberapa unit rawatan rapi, kata pakar.

Ia tidak dipercayai telah memberi vaksin kepada mana-mana daripada 26 juta penduduknya, walaupun ia mungkin telah menerima beberapa vaksin dari China, lapor NK News yang berpangkalan di Seoul.

Disiarkan pada: August 13, 2022 @ 1:31pm
d