mutakhir

Lelaki maut skuter langgar pili bomba

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Marang: Lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan sebelum merempuh pili bomba di Kilometer 53 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.10 pagi, mangsa berusia 31 tahun dari Paka disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah pada bahagian kepala.

Kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa yang menunggang skuter Yamaha NVX dalam perjalanan pulang ke rumah dari arah Kuala Terengganu.

Sebaik tiba di tempat kejadian, skuter ditunggang mangsa dipercayai terbabas ke kiri jalan sebelum terlanggar pili bomba.

Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Disiarkan pada: August 18, 2022 @ 1:50pm
d