mutakhir

PPS ditutup, mangsa ribut pindah ke penempatan sementara

Oleh Omar Ahmad

Johor Bahru: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya di sini yang menempatkan 85 mangsa ribut Flat Ros Merah sejak dibuka Jumaat lalu, ditutup sepenuhnya hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dalam kenyataan berkata, PPS yang menempatkan 22 keluarga mangsa bencana alam itu ditutup pada jam 1 petang tadi.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, menyerahkan kunci Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pelangi Indah di sini, kepada 18 keluarga mangsa ribut bagi penempatan sementara.

Pembiayaan sewa dan deposit PPR itu ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri, sehingga proses membaikpulih bumbung Flat Ros Merah diselesaikan, yang dijangka mengambil masa lapan minggu.

Manakala baki mangsa ribut yang lain memilih untuk menumpang rumah saudara mara.

Pada Jumaat lalu, PPS Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya dibuka, bagi menempatkan mangsa ribut selepas enam bumbung Flat Ros Merah terbang ditiup angin kencang dan kediaman mereka ditingkat empat dimasuki air.

Disiarkan pada: August 18, 2022 @ 2:12pm
d