mutakhir

9 motosikal, 1 kereta terbakar di Flat Jalan Kurau

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: "Saya terdengar bunyi letupan kecil, ingat penduduk main mercun tapi terkejut melihat api sedang marak di parkir motosikal," kata Hassan Abdul Majid, 62, salah seorang daripada sembilan motosikal dan sebuah kereta yang musnah terbakar di Flat Jalan Kurau, Jelutong di sini, awal pagi tadi.

Hassan berkata, dalam kejadian sekitar jam 3 pagi itu, dia sedang tidur di rumahnya di tingkat dua flat berkenaan sebelum dikejutkan dengan bunyi letupan kecil.

Katanya, dia kemudian mengejutkan penghuni flat bagi membantu memadamkan api sebelum menghubungi pihak bomba.

"Mujur api tidak mengenai bahagian rumah penduduk kerana kedudukannya sangat hampir dan api marak dengan cepat.

"Motosikal SYM 110 saya hangus terbakar dalam kejadian itu menyebabkan kerugian kira-kira RM2,800. Itu satu-satunya kenderaan yang saya ada," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Seorang lagi mangsa, Mohd Alif Kamarulzaman, 24, berkata motosikalnya Demak miliknya diparkir di situ kerana mengalami kerosakan pada bulan lalu.

"Berikutan masalah enjin, ia tidak dibaiki lagi kerana memerlukan kos yang agak tinggi namun hari ini ia hangus terus dan kerugian dianggarkan kira-kira RM4,000," katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Pegawai Bomba Tinggi 1 Fadzil Mohamad, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.26 pagi

Katanya, lapan anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi dan mendapati kebakaran menyebabkan sembilan motosikal hangus manakala sebuah kereta yang diparkir berhampiran turut mengalami kerosakan pada bahagian hadapan.

"Sebanyak 11 motosikal lagi yang terletak berhampirannya juga mengalami kerosakan," katanya.

Fadzil berkata, nilai kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan bagi menentukan sama ada kejadian berpunca perbuatan khianat atau sebaliknya

Turut berada di lokasi ialah Unit Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang.

Disiarkan pada: August 18, 2022 @ 4:13pm
d