Bola Sepak

Pengendali Korea dijangka jadi penolong jurulatih skuad B-23

Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Bukan sebagai ketua jurulatih, tetapi calon pengendali dari Korea Selatan diambil untuk mengisi posisi sebagai penolong jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara.

Demikian kata sumber yang mengakui seorang jurulatih dari Korea Selatan akan diumumkan tidak lama lagi dalam barisan kejurulatihan B-23 tahun negara.

"Boleh jadi jurulatih dari Korea Selatan akan dilantik penolong jurulatih, bukannya ketua jurulatih.

"Ia bagi membantu ketua jurulatih yang disebut-sebut sebelum ini iaitu E Elavarasan sebagai ketua jurulatih B-23," kata sumber itu ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan Elavarasan dijangka diumumkan sebagai pengganti Brad Maloney yang melepaskan jawatannya.

Kekosongan itu kemudiannya menyaksikan beberapa nama disebut-sebut antaranya bekas pemain kebangsaan Korea Selatan, Kim Dong-jin dan Kim Hak-bum.

Pemilihan calon dari Asia Timur itu bagi memastikan corak dan gaya permainan sama dapat diterapkan seperti digunapakai skuad senior di bawah kendalian Kim Pan-gon.

Malah, Pan-gon difahamkan terbabit secara langsung dalam memberi pandangan pembentukan barisan kejurulatihan skuad B-23 itu.

Disiarkan pada: August 29, 2022 @ 6:37pm
d