mutakhir

Lelaki lebih ramai di Sabah

Oleh Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Sabah mempunyai penduduk lelaki lebih ramai berbanding perempuan dalam 3.418 juta populasi penduduk negeri itu berdasarkan Banci Malaysia 2020.

Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata, nisbah jantina penduduk Sabah ketika ini menunjukkan seramai 109 lelaki bagi setiap 100 orang perempuan.

"Ini menunjukkan penduduk lelaki di Sabah lebih ramai berbanding perempuan," katanya ketika merasmikan Siri Jelajah Penemuan Utama Banci Malaysia 2020 Negeri Sabah di Wisma Wanita Sabah di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Pembangunan Masyarakat dan Keaejahteraan Rakyat Sabah Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Hajiji berkata, berdasarkan Banci Malaysia 2020, populasi penduduk Sabah meningkat kepada 3.418 juta pada tahun berkenaan berbanding 3.117 juta orang pada 2010.

Bagaimanapun, katanya, berlaku penurunan dalam kadar pertumbuhan penduduk Sabah daripada 2.3 peratus pada 2010 kepada 0.9 peratus pada 2020.

Jika dibandingkan populasi nasional, katanya, kadar pertumbuhan penduduk Malaysia ialah 1.7 peratus pada 2020 berbanding 2.1 peratus pada 2010 kepada 32.4 juta orang pada 2020 berbanding 27.5 juta pada 10 tahun lalu.

"Dari segi kohort (kaji selidik) umur, penduduk muda hingga 14 tahun menyumbang 26.5 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negeri ini berbanding penduduk umur muda nasional iaitu 24 peratus daripada keseluruhan penduduk di Malaysia," katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata, dapatan Banci Malaysia 2020 mengikut kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Statistik Subnasinal DUN di Sabah menunjukkan DUN Karambunai mempunyai bilangan penduduk dan tempat kediaman tertinggi di Sabah, masing-masing 164,000 orang dan 35,463 rumah.

DUN Banggi pula katanya, menjadi kawasan DUN yang mencatatkan bilangan penduduk dan tempat kediaman terendah iaitu hanya 9,000 orang dan 2,588 tempat kediaman.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kota Kinabalu mempunyai jumlah penduduk tertinggi di Sabah dengan 500,421 orang, diikuti Sandakan seramai 439,050 orang.

"Jika dilihat dari segi komposisi penduduk usia muda pula, daerah Putatan mencatatkan 34.5 peratus, sekali gus menjadi daerah yang mempunyai komposisi penduduk usia muda yang paling ramai," katanya.

Dalam pada itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, ekonomi negeri itu menunjukkan pemulihan secara beransur-ansur pada tahun lalu meskipun belum setara dengan prestasi ekonomi sebelum pandemik Covid-19 pada 2019.

Katanya, berdasarkan dapatan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dimuatkan dalam buku Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mengikut negeri pada 30 Jun lalu, KDNK Sabah berjumlah RM78.7 bilion pada 2021.

Jumlah itu, katanya menunjukkan pertumbuhan 1.1 peratus berbanding KDNK 2020 yang mencatat sebanyak RM77.8 bilion ketika penularan pandemik Covid-19 dengan kadar pertumbuhan negatif 7.8 peratus berbanding KDNK pada 2019.

"Terdapat peningkatan KDNK perkapita bagi negeri Sabah iaitu RM26,674 pada 2021 berbanding RM21,706 pada 2020, namun KDNK perkapita negeri Sabah berada di bawah paras nasional iaitu RM47,324," katanya.

Disiarkan pada: September 8, 2022 @ 3:12pm
d