mutakhir

Langkawi di landasan tepat capai sasaran 2.5 juta pelancong

Oleh Hamzah Osman

Langkawi: Langkawi berada di landasan tepat untuk mencapai sasaran 2.5 pelancong, tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, pulau legenda itu sudah menerima ketibaan 1.4 pelancong setakat bulan lalu.

"Sasaran itu turut disokong oleh empat acara bertaraf antarabangsa yang diadakan di pulau ini," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Pelepasan Acara Langkawi Legendary Ride (LLR) 2022 di sini, hari ini.

Katanya, acara itu termasuk Ironman Malaysia Langkawi 2022, Langkawi International Beach Soccer, Langkawi International Half Marathon dan Le Tour de Langkawi pada suku keempat tahun ini.

Sementara itu, 1,740 peserta dari dalam dan luar negara menyertai edisi kedua LLR 2022.

Pelepasan peserta bagi ketegori 101 kilometer (km) disempurnakan Tunku Mahkota Kedah Datuk Seri Diraja Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin, manakala peserta untuk kategori 60 km yang turut disertai Tunku Shazuddin dilepaskan Pegawai Daerah Langkawi, Datuk Abdul Gafar Yahya.

Pelepasan peserta bagi kategori 30 km disempurnakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan, Tunku Iskandar Shah Tunku Muszaffar Shah.

Disiarkan pada: September 10, 2022 @ 10:53am
d