Bola Sepak

'Piala lusuh' ada tuah tersendiri

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Nampak lusuh namun replika Piala FA yang dibawa seorang penyokong Terengganu FC(TFC) mempunyai sejarah tersendiri berkaitan perlawanan terbabit.

Ini kerana replika piala inilah yang dibawa penyokong TFC ketika menyaksikan pasukan itu menjulang Piala FA edisi 2011 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 11 tahun lalu.

Pemilik replika piala terbabit, Mohd Izharuddin Ilyas mengharapkan dapat memberi 'tuah' pada aksi final Piala FA malam ini berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang secara kebetulannya turut berlangsung di venue sama.

"Piala ini dibuat oleh bapa saudara saya untuk aksi final 2011 tetapi bagi aksi final kali ini, dia tidak berkesempatan atas faktor kesihatan jadi kami membawa hasratnya dan juga replika Piala FA ini ke Bukit Jalil malam ini.

"Walaupun nampak lusuh namun ia sudah diperbaiki sedikit supaya rupa piala yang diperbuat daripada buluh ini menjadi lebih elok sedikit untuk dibawa ke sini," katanya.

Mengulas lanjut mengenai perjalanannya ke Stadium Nasional Bukit Jalil, pemuda dari Kuala Terengganu itu merancang perjalanan awal supaya tidak terburu-buru untuk tiba di sini.

"Kami bergerak menggunakan kereta bersama lima sepupu. Kami tiba di sini lewat petang semalam.

"Bagi perlawanan malam ini, kami harap TFC dapat memberikan berita gembira buat semua penyokong TFC yang hadir malam ini," katanya.

Disiarkan pada: September 10, 2022 @ 4:58pm
d