Sukan Lain

Raja Pecut naik ambulans

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Jaguh pecut negara Muhammad Azeem Fahmi mencetuskan rasa panik apabila dia dibawa menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut di Institut Sukan Negara (ISN) Bukit Jalil, sebentar tadi.

Azeem mengalami kemungkinan mengalami kecederaan ketika beraksi dalam final acara 200 meter (m) yang menyaksikan dia mengakhiri saingan di tempat kedua.

Difahamkan, Azeem mengalami kecederaan hamstring yang dilihat menjejaskan rentak lariannya ketika final 200m itu sehingga membolehkan pencabar terdekat dari Johor, Muhammad Arsyad Md Saat memintas pada 10m terakhir untuk memenangi emas.

"Doakan saya" kata Azeem ketika berada di dalam ambulans sebelum dibawa ke ISN.

Sebelum aksi final, hari ini, Azeem ada membuat ciapan di Twitter miliknya menggambarkan yang dia mengalami kecederaan hamstring.

Terdahulu, Arsyad melakukan kejutan apabila berjaya memenangi acara 200m lelaki sebentar tadi.

Acara yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyaksikan Arsyad berjaya memintas Azeem pada 10m terakhir untuk mengesahkan emas miliknya menerusi catatan masa 21.02s.

Azeem yang sebelum ini memenangi emas acara 100m terpaksa berpuas hati dengan perbezaan hanya 0.01s manakala gangsa menjadi milik atlet Negeri Sembilan Muhammad Haiqal Hanafi (21.18s)

Disiarkan pada: September 18, 2022 @ 4:57pm
d