mutakhir

Jawatankuasa Khas ditubuh bantu isu penipuan kerja di luar negara

Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju mewujudkan satu Jawatankuasa Khas pelbagai agensi bagi memastikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara akibat sindiket penipuan kerja dibawa pulang dengan selamat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, isu itu dibincangkan hari ini secara serius dan kerajaan prihatin dengan nasib keluarga serta rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara.

"Mesyuarat Jemaah Menteri juga memutuskan untuk mewujudkan satu Jawatankuasa Khas pelbagai agensi yang akan diketuai oleh Kementerian Luar Negeri.

"Penubuhan Jawatankuasa Khas ini membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia dibawa pulang dengan selamat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya menghubungi Kementerian Luar Negeri jika mendapat tawaran kerja di luar negara bagi memastikan kesahihan dan tidak terjebak dengan sindiket penipuan kerja.

Disiarkan pada: September 21, 2022 @ 5:48pm
d