mutakhir

'Gerenti' kena banjir - Penduduk Kampung Pasir

Oleh Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Penduduk Kampung Pasir, Tampoi di sini khuatir rumah pam kolam takungan banjir berusia 20 tahun yang belum dinaik taraf dan diselenggara dengan baik boleh mengakibatkan banjir di kawasan itu berulang.

Seorang penduduk, Halimi Kolan, 45, berkata kampung berkenaan pernah dilanda banjir besar dua tahun lalu selain turut diancam banjir kilat pada April lalu.

Menurutnya, penduduk bersyukur dengan kewujudan rumah pam berkenaan bagi mengatasi masalah banjir namun masalah timbul apabila ia tidak dinaik taraf mahupun diselenggara dengan sebaik mungkin sejak kebelakangan ini.

Katanya, pihaknya mendapati pagar pemisah antara sampah dan mesin penyedut air dalam keadaan rosak hingga boleh menjejaskan operasi mesin berkenaan.

"Sehingga kini tiada tembok pemisah dibina antara kolam dengan rumah penduduk hingga mengakibatkan kediaman mereka yang terletak berhampiran tebing mudah diancam banjir ketika hujan lebat bertembung dengan air pasang.

"Malah pokok kiambang yang membiak di kolam itu tidak dibersihkan menjadi tempat pembiakan ular dan biawak yang boleh mengancam keselamatan penduduk.

"Kami mengadu perkara berkenaan kepada pelbagai pihak namun tidak menerima sebarang maklum balas positif," katanya.

Sementara itu, Mohd Najib Muhammad, 41, berkata cuaca tidak menentu sejak awal September lalu menimbulkan kebimbangan penduduk sekiranya banjir besar berulang.

Menurutnya, pihak berkenaan perlu sentiasa memantau keadaan rumah pam berkenaan supaya banjir tidak terus mengancam kira-kira 2,000 hingga 3,000 penduduk kampung itu.

"Kami berharap perkara berkenaan diberi perhatian dengan secepat mungkin kerana setiap kali hujan lebat kami bimbang kawasan ini akan dilanda banjir," katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Ketua Kampung Pasir, Zaini Sinong berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan dimaklum bahawa rumah pam berkenaan akan ditambah baik secara berperingkat.

"JPS dalam proses menambah satu lagi unit pam bersaiz besar dan peruntukan bagi pam sudah diumumkan pihak berkaitan sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Perling( Adun), Liew Chin Tong berkata, dia mengikuti keadaan sungai dan tali air dalam kawasan DUN Perling yang juga 'hotspot' banjir.

Menurutnya, ketika bertemu dengan jurutera JPS Daerah Johor Bahru, pihaknya pernah meminta supaya kerja penyelenggaraan dan pembersihan dibuat bagi tali air dan sungai di sekitar DUN Perling terutamanya di Kampung Pasir dan Tampoi Utama kerana melihat kawasan berkenaan dipenuhi pokok kiambang.

"Saya juga pernah memanjangkan aduan berkaitan situasi di Kampung Pasir ini kepada pihak JPS.

"Saya turun padang sekali lagi pada awal bulan Jun bersama Ahli Parlimen Pulai untuk meninjau keadaan di tali air ini dan pada ketika itu, sebahagian daripada tali air sudah dibersihkan.

"Saya berharap JPS lebih kerap menjalankan kerja pembersihan di sungai dan tali air terutamanya menjelang musim tengkujuh akhir tahun supaya mengurangkan risiko banjir," katanya ketika dihubungi.

Disiarkan pada: September 25, 2022 @ 11:07am
d