Bola Sepak

Usah kacau Cheng Hoe buat kerja - Azlan

Oleh Syazwan Msar

Kuala Lumpur: Pengurusan Selangor FC seharusnya tidak mencampuri segala urusan atau menyekat kebebasan jurulatih baharu, Tan Cheng Hoe dalam usaha membentuk pasukan mantap pada masa akan datang.

Peringatan itu diberikan bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar yang melihat pelantikan bekas pengendali Harimau Malaya itu bakal membawa senario baharu dalam Selangor FC dan bakal membangkitkan Gergasi Merah yang sedang tidur untuk 'mengamuk' di pentas Liga Super.

Azlan berkata, sekiranya pihak pengurusan dapat memberikan sokongan padu dan memberi kebebasan kepada Cheng Hoe untuk mengatur strategi yang dimahukan, beliau percaya pasukan itu mampu bangkit semula.

"Pertama sekali saya nak ucap tahniah dan syabas kepada Cheng Hoe. Bagi saya Selangor mengambil tindakan tepat kerana beri peluang kepada jurulatih tempatan seperti Cheng Hoe untuk mengemudi kelab.

"Malah Cheng Hoe antara jurulatih tempatan yang memahami falsafah bola sepak moden. Kalau kita lihat dulu, dia antara jurulatih terawal mulakan hantaran pendek ketika mengendali Kedah dan ketika itu tidak ramai yang tahu untuk menggunakannya.

"Jadi saya berharap dengan perlantikan ini, Selangor dapat beri kebebasan kepada Cheng Hoe dan jangan cuba menghalang atau cuba ajar apa yang dia perlu lakukan. Saya percaya Cheng Hoe mampu untuk menggalas jawatan ini dengan baik," katanya.

Terdahulu, Selangor FC menamatkan teka teki apabila mengumumkan bekas pengendali Harimau Malaya itu sebagai jurulatih baharu pasukan terbabit.

Pengumuman itu dibuat di Facebook Selangor FC, sekali gus menjawab teka-teki yang mengaitkan bekas jurulatih negara bakal dilantik bagi menggantikan Michael Feichtenbeiner yang diturunkan pangkat bulan lalu ekoran prestasi merudum pasukan.

Berdasarkan pencapaian dan pengalamannya, Selangor FC percaya Cheng Hoe adalah calon terbaik untuk membawa pasukan itu ke peringkat lebih tinggi pada musim hadapan.

Disiarkan pada: September 25, 2022 @ 4:57pm
d