bisnes

Bank Dunia semak naik unjuran KDNK Malaysia

Oleh BERNAMA

Kuala Lumpur: Bank Dunia menyemak naik unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2022 kepada 6.4 peratus daripada 5.5 peratus yang dijangkakan sebelum ini, didorong peningkatan aktiviti ekonomi pada separuh pertama.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Apurva Sanghi berkata data menunjukkan ekonomi ini telah berkembang jauh melebihi jangkaan pada separuh pertama 2022, dipacu oleh penggunaan domestik yang lebih baik dan pertumbuhan eksport yang kukuh daripada sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta komoditi.

Prestasi lebih baik yang dicatatkan sektor perkhidmatan, pelancongan dan pembuatan ditambah dengan peningkatan semula yang dialami sektor pembinaan juga menyumbang kepada unjuran yang lebih baik dan disemak semula itu, katanya semasa taklimat media secara maya bertajuk Perkembangan Ekonomi Asia Timur dan Pasifik oleh Bank Dunia pada Selasa.

Beliau berkata walau bagaimanapun, Bank Dunia menyemak turun unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi 2023 kepada 4.2 peratus daripada 4.5 peratus yang dibuat sebelumnya.

Disiarkan pada: September 27, 2022 @ 1:01pm
d