mutakhir

Kes culik: Elak timbul keresahan ibu bapa

Oleh Nazdy Harun

Kuala Terengganu: Polis Terengganu menafikan dakwaan berlaku kejadian culik dalam kalangan murid mahupun kanak-kanak di negeri ini.

Ketua Polis Negeri, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, sehingga hari ini tidak berlaku kes culik mahupun cubaan culik di negeri ini memandangkan tiada laporan polis dibuat.

Menurutnya, pihaknya menyambut baik usaha pihak sekolah memberi peringatan kepada ibu bapa dan penjaga berhubung keselamatan murid.

"Namun, isu berkaitan surat dari sekolah yang tular ketika ini menggunakan istilah 'sering berlaku' kejadian culik adalah tidak benar.

"Menggunakan isu keselamatan yang tidak benar tanpa fakta boleh menimbulkan keresahan dan kegusaran kepada ibu bapa dan masyarakat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pada masa sama pihak polis akan meningkatkan rondaan di lokasi sekolah terutama selepas waktu persekolahan tamat.

Katanya, kesemua ketua polis daerah juga sudah dimaklumkan mengenai arahan itu sejak minggu lalu.

Disiarkan pada: September 27, 2022 @ 3:54pm
d