Asia

19 maut, 28 cedera serangan bom berani mati di Afghanistan

Oleh BERNAMA

Islamabad: Serangan bom berani mati di sebuah pusat pendidikan di ibu negara Afghanistan, Kabul mengorbankan sekurang-kurangnya 19 orang dan mencederakan 28 lagi pada pagi Jumaat, lapor Agensi Anadolu.

Pengebom berani mati itu menyasarkan pelajar di institusi pendidikan Kaaj di Dasht e Barchi pada 7.30 pagi waktu tempatan.

Jurucakap polis, Khalid Zadran berkata, serangan bom berani mati itu berlaku ketika peperiksaan kemasukan pelajar di institut itu.

Menerusi rakaman video yang tular, orang ramai dilihat mencari perlindungan dan meminta ketika tragedi itu berlaku.

Minggu lalu, sebuah 'kereta bom' meletup di luar sebuah masjid di Kabul ketika jemaah keluar selepas solat Jumaat hingga mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh orang dan mencederakan 41 yang lain, termasuk kanak-kanak.

Pendakwah terkenal Islam pro-Taliban, Mulawai Mujeebur Rehman Ansari antara 18 individu yang terbunuh pada kejadian 2 September apabila seorang pengebom berani mati meletupkan dirinya ketika solat Jumaat di bandar Herat barat.

Kumpulan pengganas Daish mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, pertubuhan pengganas itu mempergiatkan aktivitinya di banyak bahagian negara itu, menimbulkan ancaman kepada keselamatan Taliban yang memperoleh semula kuasa pada Ogos tahun lalu.

Disiarkan pada: September 30, 2022 @ 3:57pm
d