mutakhir

Bomba selamatkan empat beranak terperangkap kepala air

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Gombak: Empat beranak yang terperangkap susulan fenomena kepala air di kawasan sungai berhampiran Balai Polis Gombak Lama di sini, diselamatkan bomba hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 2.37 petang.

Menurutnya, sebuah jentera dengan kekuatan enam pegawai serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang dikejarkan ke lokasi sebelum tiba pada 3.05 petang.

"Kejadian membabitkan empat mangsa iaitu ibu dan tiga anaknya yang sedang berkelah lalu terperangkap di seberang sungai berkeluasan kira-kira tujuh meter.

"Ia susulan kepala air yang berlaku berikutan hujan lebat di kawasan berkenaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan tidak mengalami kecederaan.

Disiarkan pada: September 30, 2022 @ 4:49pm
d