mutakhir

Bot nelayan Vietnam ceroboh perairan negara dimusnahkan [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) melupuskan secara hancur musnah sebuah bot nelayan Vietnam yang dilucut hak atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Terengganu, Komander Maritim Ariffin Ghazali berkata, kaedah hancur musnah itu dilaksanakan berikutan bot berkenaan tidak sesuai dijadikan tukun tiruan.

Beliau berkata, bot yang dilupuskan itu ditahan pada kedudukan 112 batu nautika dari Kuala Terengganu pada 17 Julai 2021 bersama dua kru kerana menceroboh perairan dan mencandat sotong tanpa kebenaran.

"Tindakan pelupusan diambil ke atas bot nelayan asing warga Vietnam yang menceroboh perairan negara mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ariffin berkata, setakat tahun ini, sebanyak 21 vesel dilupuskan dengan cara ditenggelamkan untuk dijadikan tukun dan hancur musnah.

Beliau berkata, APMM sentiasa tegas dalam melaksanakan undang-undang di perairan Terengganu demi memastikan sumber perikanan negara dapat dilindungi dan kedaulatan negara terpelihara.

"Kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim dialu-alukan untuk melaporkan sebarang maklumat perlakuan melanggar undang-undang dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara melalui talian, MERS 999," katanya.

Disiarkan pada: October 1, 2022 @ 11:30am
d