vroom

Elemen kapal angkasa

Oleh Lizam Ridzuan

UMPAMA kapal angkasa.

Itu yang boleh dikatakan apabila kali pertama melihat keunikan reka bentuk Hyundai Staria.

Kenderaan pelbagai guna (MPV) 10 tempat duduk ini dilancarkan ke pasaran tempatan baru-baru ini menerusi tiga varian iaitu Lite, Plus dan Max.

Ia cukup besar dan luas dengan susun atur 2-3-2-3.

MPV ini diedar oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) selaku pengedar utama kenderaan Hyundai di Malaysia.

Pengarah Urusan HSDM Low Yuan Lung berkata, Staria disasarkan buat pengguna yang memiliki keluarga besar serta keperluan mobiliti untuk perniagaan.

"Ia bukan sahaja untuk membawa penumpang, malah dengan kabin yang fleksibel, ia memudahkan keperluan gaya hidup," katanya.

Staria dengan dimensi jarak roda 3,273 milimeter (mm), panjang 5,253mm dan lebar 1,997mm cukup memudahkan urusan keluar masuk penumpang.

Dengan transmisi lapan kelajuan automatik, Staria dikuasakan enjin 2.2 CRDi pengecas turbo sejukan udara diesel yang menawarkan kuasa 177PS dan tork 431Nm.

Untuk kabin, ia didatangkan dengan sistem kokpit kluster meter bersaiz 10.25 inci dan sistem infotainmen bersaiz lapan inci pada konsol tengah.

Varian Max juga dilengkapi kamera pemandangan sekitar 360 darjah, pintu kargo belakang elektrik dan kerusi balutan kulit Nappa.

Untuk keselesaan keseluruhan penumpang, ia dilengkapi salur penyaman udara pada bumbung.

Ia ciri standard semua varian. Bagi varian Plus dan Max, ia turut dilengkapi pintu gelongsor elektrik.

Ciri keselamatan Staria pula membabitkan Hyundai Smartsense dengan teknologi bantuan pemanduan, Bantuan Mengelak Perlanggaran Hadapan (FCA), Bantuan-Mengelak Perlanggaran Trafik-Melintas Belakang (RCCA), Bantuan Kekal Laluan (LKA) dan Kawalan Pelayaran Pintar (SCC).

Bagi Staria Lite, ia dijual pada harga RM179,889, Staria Plus (RM196,888) dan Staria Max pada harga RM209,888.

Versi Staria tujuh tempat duduk yang dilancarkan pada Oktober tahun lalu pula ditawarkan pada harga RM366,768.

Disiarkan pada: October 9, 2022 @ 7:00am
d