WM

Cegah, bimbing, sokong!

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia merekodkan sebanyak 48,639 kes kanser di Malaysia pada 2020.

Laporan Daftar Kanser Kebangsaan 2012-2016 menunjukkan peningkatan 11 peratus untuk kes kanser baharu dan 30 peratus lebih kematian akibat kanser berbanding laporan 2007-2011.

Trend yang meningkat ini mendedahkan betapa perlunya akses terhadap penjagaan berkualiti bagi pesakit kanser.

Menyedari keperluan itu, Kumpulan Hospital Columbia Asia melancarkan pusat kanser pertamanya di Bukit Rimau, Selangor.

Sejajar dengan pembukaan pusat kanser itu, Columbia Asia turut memperkenalkan Breaking Barriers, sebuah inisiatif yang akan membawa perubahan kepada landskap penjagaan kanser di Malaysia.

Inisiatif ini adalah suatu pendekatan holistik terhadap rawatan kanser yang membabitkan tiga jurang utama iaitu pencegahan kanser, bimbingan untuk pesakit kanser dan sokongan untuk pesakit kanser.

Pengarah Urusan & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Columbia Asia, Dr Chan Boon Kheng berkata, pihaknya berazam menangani tiga jurang utama berkaitan kanser, sekali gus meningkatkan akses penjagaan pesakit kanser dalam kalangan rakyat Malaysia.

"Penjagaan pesakit kanser memerlukan pendekatan holistik dan kepelbagaian disiplin.

"Harapan kami supaya pusat kanser baharu ini membolehkan penjagaan kanser integratif berkualiti tinggi lebih mudah diakses," katanya.

Menurutnya, diagnosis kanser pasti mengubah kehidupan seseorang daripada segi fizikal, mental dan emosi.

"Kami faham bahawa rawatan kanser tidak hanya terhad kepada ubat-ubatan. Dengan memperkenalkan pendekatan integratif, kami dapat merancang rawatan khusus untuk setiap pesakit, melalui gabungan inovasi klinikal dan penjagaan tertumpu kepada individu," katanya.

Sementara itu, bagi Pengurus Besar Serantau Hospital Columbia Asia Bukit Rimau, Petaling Jaya dan Seremban, Lee Hui Chuen berkata, pihaknya ingin memberi kesedaran kepada lebih ramai rakyat di negara ini dalam memahami bahawa diagnosis kanser bukan bermakna kehidupan berakhir

"Setiap hari ada pelbagai pilihan penjagaan, pencegahan, rawatan, penyembuhan dan peningkatan kualiti hidup pesakit kanser serta keluarga mereka.

"Kami membayangkan pusat kanser baharu ini sebagai langkah pertama untuk mengubah cara kita berfikir dan berbincang mengenai kanser. Disebabkan itu kami melancarkan inisiatif 'Breaking Barriers'," katanya.

Pusat kanser ini menawarkan saringan kanser dan diagnostik, pilihan rawatan individual, penjagaan selepas rawatan, program rehabilitasi kanser, penjagaan paliatif, konsultasi diet, penjagaan khas pelbagai disiplin, pengurusan kesakitan, penjagaan di rumah, sokongan berkumpulan antara pesakit dan ujian klinikal.

Ia juga dilengkapi peralatan serta kepakaran yang terdiri daripada perunding dan pakar onkologi yang disokong oleh pasukan radioterapi, unit kemoterapi, pasukan pengalaman pesakit, pakar prosedur, jururawat onkologi dan pakar diet.

Disiarkan pada: October 22, 2022 @ 6:42am
d