mutakhir

PRU-15: BN Pahang nekad rampas semula kerusi dimenangi pembangkang [METROTV]

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Barisan Nasional (BN) Pahang percaya kerusi yang dimenangi parti pembangkang sama ada di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang akan dirampas kembali pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata dari segi persediaan, parti itu tidak gentar berdepan cabaran daripada parti pembangkang atau bebas.

Bagi kerusi yang dimenangi pada PRU-14, katanya, ia akan dipertahankan.

"Pada PRU-15, BN Pahang berazam merampas kembali kerusi yang dimenangi pembangkang.

"Pemilihan calon di kerusi yang dimenangi pembangkang juga belum dimuktamadkan setakat ini," katanya.

Wan Rosdy berkata demikian ketika ditemui selepas selepas Majlis Sambutan Hari Warga Emas dan Jubli Emas Persatuan Pesara Kerajaan Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.

Pada PRU-14, BN Pahang memenangi sembilan daripada 14 Parlimen manakala kerusi DUN pula BN memenangi 25 daripada 42 kerusi.

Diminta mengulas khabar angin Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man akan bertanding di Pahang, beliau tidak mengetahuinya.

Bagaimanapun, katanya, fokus utama BN Pahang ialah untuk memastikan kejayaan menjadi milik parti berkenaan.

"Kita bersedia dari segi pertandingan dan persiapan untuk berdepan dengan siapa sahaja ," katanya.

Disiarkan pada: October 25, 2022 @ 4:04pm
d