Bola Sepak

AMD Panthers lakar kejayaan pertama

Oleh Mohd Rafi Mamat

Gambang: Pasukan Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Panthers bawah 14 tahun menepati ramalan apabila membelasah wakil India RF Young Champs 8-0 pada saingan Piala Supermokh 2022 di AMD Gambang, hari ini.

Jaringan skuad bimbingan Ekhsan Bukharee Badarul Hisham disumbang menerusi penyerang lincah Izzuddin Afif Nazarudin yang menghasilkan empat gol pada minit 8,15, 34 dan 41.

Tiga gol lagi dihasilkan oleh Putera Aqil Taufiq Zulkafli pada minit ke 44, 69 dan 70.Turut menyumbang satu gol Muhammad Naqif Firhad Mohd Shafarin pada minit ke 64.

Ekhsan Bukharee berkata, persembahan bertenaga dipamirkan barisan pemain yang begitu bersemangat untuk mencatat kemenangan di gelanggang sendiri.

"Kita memulakan saingan Piala Supermokh kali ini dengan penuh bergaya apabila menewaskan lawan dengan jumlah jaringan yang besar, keputusan itu akan menjadi pembakar semangat pemain untuk terus menyerlah pada perlawanan seterusnya.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan prestasi pemain walaupun sedikit kelemahan dapat dilihat di posisi tengah," katanya, di sini hari ini.

Beliau menambah, kejayaan penyerang Izzuddin Afif dan Putera Aqil Taufiq melakukan hatrik suatu yang membanggakan dan diharap prestasi berkenaan dapat diteruskan pada perlawanan seterusnya selepas ini.

Ekhsan Bukharee berkata, esok pasukan AMD Panthers akan berhadapan wakil Thailand, Chonburi FC yang tidak kurang hebatnya sebelum bertemu dengan NK Osijek sebelum menamatkan perlawanan peringkat kumpulan bertemu Fagiano Okayama.

"Saya berharap kita berpeluang melangkah ke perlawanan akhir walaupun berhadapan saingan sengit pasukan luar negara," katanya yang berharap pemain dapat terus mempamerkan prestasi diharapkan.

Sementara itu dalam perlawanan kategori bswah 13 tahun pasukan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) Regional turut mencatat kemenangan bergaya selepas menewaskan HwaSeong 3-1.

Disiarkan pada: October 26, 2022 @ 5:31pm
d