Bola Sepak

AMD Panthers berjaya jinakkan NK Osijek

Oleh Mohd Rafi Mamat

Gambang: Pasukan Akademi Bolasepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) Panthers dipaksa bekerja keras sebelum mencatat keputusan seri 2-2 dengan NK Osijek pada saingan kategori bawah 14 tahun Piala Supermokh 2022 di AMD Gambang, hari ini.

Bermula garang skuad bimbingan Ekhsan Bukharee Badarul Hisham berada di hadapan pada minit ke 20 menerusi gol Putera Aqil Taufiq Zulkafli yang merembat kencang bola ke sebelah kanan gawang lawan menewaskan penjaga gol pelawat, Grahavac Matej.

Ketinggalan 0-1 tidak mematahkan semangat pemain skuad NK Osijek untuk berusaha menyamakan kedudukan, pada minit ke 32 gol penyamaan terhasil menerusi Jaman Drazenuntuk menamatkan permainan babak pertama dengan kedudukan 1-1.

Bermula babak kedua lawan seolah bangkit mendapat suntikan semangat baharu apabila melakukan serangan bertali arus dan hasilnya gol kedua muncul pada minit ke 58 juga menerusi penyerang lincah Jaman.

Ketinggalan 1-2 ternyata memberi tekanan barisan pemain AMD Panthers, serangan yang diatur berjaya dipatahkan benteng pertahanan lawan yang berkelebihan dari saiz badan.

Permainan keras mula dipamerkan pemain kedua pasukan.

Episod ceria pasukan tuan rumah hadir pada minit ke 64 apabila dihadiahkan sepakan penalti selepas pertahanan lawan menjatuhkan pemain lincah, Muhammad Naqif Firhad Mohd Shafarin.

Penyerang Izzuddin Afif Nazarudin mudah menggegarkan jaring gol lawan untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Pegawai dan pemain NK Osijek tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil memberi penalti kepada pasukan AMD Panthers.

Aksi permainan kedua-dua pasukan semakin rancak dalam usaha memburu jaringan kemenangan.

Lima minit sebelum tamat perlawanan pemain NK Osijek, Mrkonjic Borna dilayangkan kad merah selepas mengumpul dua kad kuning.

Bagi Ekhsan Bukharee, faktor saiz badan pemain lawan yang tinggi dan besar menjadi cabaran utama pemain AMD Panthers sepanjang perlawanan hari ini.

"Kita sukar bersaing bagi mendapatkan bola tinggi dan lawan pula bijak mengambil kesempatan berkenaan apabila melakukan serangan menerusi hantaran dari sebelah kiri dan kanan.

"Bagaimanapun saya berpuas hati keputusan seri 2-2 hari ini selepas pemain mempamerkan semangat dan kesungguhan tinggi sepanjang permainan," katanya yang ingin melihat AMD Panthers melangkah ke perlawanan akhir Piala Supermokh 2022.

Ekhsan Bukharee berkata, perlawanan esok bertemu Fagiano Okayama menjadi penentu kepada kedudukan dalam kumpulan A seterusnya lawan yang akan bertemu di peringkat separuh akhir.

"Kita memerlukan kemenangan esok untuk bertemu naib johan kumpulan B, saya berharap pemain dapat memberi persembahan yang terbaik," katanya.

Pasukan AMD Panthers kini berada di tangga ke dua kumpulan A di belakang NK Osijek, AMD Panthers berbaki satu perlawanan esok sementara NK Osijek telah menamatkan empat perlawanan.

Disiarkan pada: October 28, 2022 @ 3:37pm
d