mutakhir

Wisma Putra pantau insiden rempuhan, perkembangan akan dimaklumkan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Kementerian Luar sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Republik Korea bagi mengesahkan pembabitan rakyat Malaysia dalam insiden rempuhan pada pesta Halloween di Itaewon, Seoul, Sabtu lalu.

Kementerian itu dalam kenyataan berkata, setakat ini pihaknya sedang bekerjasama bagi memastikan kesahihan berkaitan dakwaan mengenai terdapat rakyat Malaysia yang terkorban dalam insiden ini yang tular dalam media sosial.

"Perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, "katanya.

Terdahulu, tular dakwaan mengatakan seorang rakyat Malaysia terbunuh dalam insiden itu.

Dakwaan yang dimuat naik di media sosial itu mendakwa lelaki berusia 21 tahun yang bekerja di syarikat pembinaan turut maut dalam insiden berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, pihaknya melalui Kedutaan Malaysia di Seoul akan terus memantau situasi itu.

Beliau turut menasihatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular agar berhubung dengan pihak kedutaan melalui talian +821089748699.

Sementara itu, 19 daripada 153 yang terkorban dikenal pasti sebagai warga asing berasal dari Iran, Uzbekistan, China dan Norway manakala 82 lagi dilaporkan cedera.

Disiarkan pada: October 31, 2022 @ 3:48pm
d