mutakhir

Operasi LRT Laluan Kelana Jaya lancar

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Operasi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya di 16 stesen yang bermula jam 6 pagi tadi adalah stabil sehingga jam 4 petang tadi.

Prasarana dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan terdapat gangguan sementara kepada sistem bukan kritikal keselamatan yang berlaku jam 12.43 tengah hari tadi yang menjejaskan beberapa stesen di sekitar Stesen Damai.

"Bagaimanapun, masalah itu berjaya dipulihkan dalam masa 15 minit. Pihak Rapid Rail memohon maaf kepada penumpang yang terjejas.

"Selain itu, tinjauan di stesen utama sekitar Kuala Lumpur ketika waktu puncak sebelah pagi menunjukkan pergerakan penumpang adalah lancar.

"Kesesakan penumpang di stesen-stesen juga berkurangan. Namun, anggota Polis Bantuan, pegawai stesen dan kakitangan Prasarana masih memantau keadaan," katanya.

Menurutnya, sebanyak 92 bas perantara percuma diaktifkan untuk memberi pilihan alternatif serta kemudahan kepada orang awam sebagai langkah persediaan.

"Pelaksanaan pampasan kepada penumpang LRT Laluan Kelana Jaya seperti yang diumumkan juga bermula pada hari ini dan kakitangan stesen turut membantu memberi penerangan kepada penumpang.

"Kelancaran keseluruhan sistem LRT Laluan Kelana Jaya akan terus dipantau oleh pakar teknikal Rapid Rail bagi memastikan operasi dan sistem kekal stabil serta selamat untuk semua pengguna.

"Pihak Prasarana dan Rapid Rail sekali lagi berterima kasih kepada rakyat Malaysia yang menggunakan pengangkutan awam. Kami memberi jaminan untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk semua," katanya.

Katanya, orang ramai boleh menghubungi pihaknya di suggest@rapidkl.com.my atau talian 03-78852585 pada hari Isnin hingga Jumaat dari jam 7 pagi hingga 8.30 malam, Sabtu hingga Ahad dan Cuti Umum dari 7 pagi hingga 5.30 petang.

"Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat terkini melalu saluran media sosial Rapid KL atau melalui aplikasi PULSE," katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2022 @ 5:00pm
d