mutakhir

'Macam tak percaya arwah kemalangan' [METROTV]

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Marang: "Sebelum dapat panggilan telefon, ada penduduk kampung berkongsi gambar kemalangan di WhatsApp tetapi ketika itu, saya tak tahu kerana tidak nampak nombor pendaftaran," kata Wan Rafiuddin Wan Mohd.

Wan Rafiuddin, 33, adalah anak angkat kepada Zaiton Omar, 64, yang maut selepas pacuan empat roda dipandunya hilang kawalan sebelum terjatuh ke dalam sungai di Jambatan Bukit Perpat, Wakaf Tapai di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, Zaiton yang juga seorang peniaga disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan ke kedainya di Kampung Gong Beris, di sini, selepas mengambil bekalan pisang di rumah anak angkatnya di Kampung Bukit Perpat.

Sebaik tiba di lokasi kejadian, Toyota Hilux dipandu mangsa dipercayai terbabas lalu terjatuh ke dalam sungai.

Wan Rafiuddin berkata, dia menerima panggilan daripada penduduk kampung pada jam 11.05 pagi menggunakan telefon milik ibu angkatnya.

Katanya, dia yang terkejut bergegas ke lokasi kejadian dan sebaik tiba, ibu angkatnya sudah dibawa keluar daripada kenderaannya.

"Memang terkejut dan rasa tak percaya sebab sebelum itu arwah ke rumah saya untuk mengambil bekalan pisang.

"Arwah beredar dari rumah saya jam 10.40 pagi dan tak lama selepas itu dapat panggilan telefon memaklumkan kejadian ini," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri dikeluarkan daripada kenderaan oleh penduduk kampung.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

"Mayat dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut," katanya.

Disiarkan pada: December 1, 2022 @ 3:16pm
d