dekotaman

Naik seri latar dinding

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

TERDAPAT pelbagai cara dan kreativiti yang boleh digunakan untuk mentransformasikan dinding kosong dalam rumah untuk lebih melengkapkan gaya penataan ruang.

Antara idea dekorasi yang kian popular ketika ini adalah penggunaan panel bergalur untuk mencantikkan lagi latar dinding rumah.

Pasti ramai yang tertanya apa kelebihan panel bergalur itu jika dibandingkan dengan pelbagai jenis rekaan kertas dinding yang ada di pasaran hari ini.

Menurut pereka hias dalaman, Farah Najiha Mohamad Yahya, 'fluted panel' atau panel bergalur juga antara dekorasi sesuai untuk tema moden dan mewah.

Ia adalah panel mesra alam yang dibina daripada komposit kejuruteraan dengan reka bentuk linear atau menegak.

"Kemasan bak kayu semula jadi itu menjadikan panel bergalur kelihatan seperti kayu sebenar, tetapi ia kalis air selain menjadi penghalau anai-anai.

"Reka bentuknya yang elegan menjadikan ia sesuai dengan banyak gaya dalaman yang berbeza dan boleh digunakan pada perabot," katanya.

Kelebihan lain adalah pemasangan panel bergalur dikatakan mudah dan tidak memerlukan golongan profesional untuk memasangnya.

Ia juga senang diperoleh dan mudah dibeli secara dalam talian.

Namun, pastikan saiz yang dibeli sesuai dengan keluasan dinding atau ruang yang anda mahu gunakan.

Berbanding panel hiasan lain ia juga lebih popular dan dapat membuatkan sesuatu ruangan nampak lebih menarik.

Impak visual panel bergalur juga menjadikan sesuatu ruang lebih tinggi dan luas.

Tidak hairan jika banyak hotel terkemuka menggunakan dekorasi panel bergalur di lobi dan laluan premis mereka.

Jika kreatif, panel bergalur juga boleh direka menjadi kabinet dapur, kabinet televisyen, hiasan pintu almari, penyeri dinding tandas, pembahagi ruang dapur dan pintu tersembunyi.

Jadi, anda boleh memasang sendiri panel bergalur untuk mencipta ruang yang lebih tenang, titik tumpuan rumah serta pembahagi ruang.

Selain itu, panel bergalur dalam rona neutral dan rekaan ringkas juga sesuai dijadikan sebagai dekorasi hiasan di katil beradu.

Kamar peribadi pastinya kelihatan mewah dan menyerlahkan suasana yang lebih tenang, ideal untuk pemiliknya berehat.

Namun, jika tidak mahu meletakkannya di sekitar katil, ia juga sesuai dijadikan sebagai bingkai di tingkap atau memenuhi ruang antara dua jendela.

Sementara itu, ramai juga yang memilih panel bergalur untuk hiasan di dapur, ruang makan dan ruang tamu rumah.

Di dapur atau ruang makan misalnya, pemilihan panel bergalur dalam rona gangsa, kelabu atau putih menyerlahkan lagi suasana yang lebih elegan.

Manakala di ruang tamu, panel bergalur boleh dijadikan sebagai medium pemisah antara ruang untuk keluarga dan ruang kecil untuk bekerja.

Dengan cara itu, anda boleh menarik perhatian tetamu ke arah titik tumpuan utama rumah tanpa perlu menyerabutkan mata.

Disiarkan pada: December 3, 2022 @ 6:30am
d