Bola Sepak

Belanda mara ke suku akhir

Oleh Reuters

Doha: Belanda menjadi negara pertama mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia Qatar selepas menewaskan Amerika Syarikat (AS) 3-1 di Stadium Khalifa International, sebentar tadi.

Jaringan Memphis Depay pada minit ke-10 dan satu lagi menerusi Daley Blind dengan sepakan terakhir pada babak pertama memberi kelebihan buat Belanda untuk mengesahkan tempat dalam kelompok lapan terbaik bertemu sama ada Argentina atau Australia, yang akan beraksi awal pagi nanti.

Pemain gantian Haji Wright merapatkan kedudukan jaringan buat AS pada minit ke-76 untuk memberikan sedikit harapan buat pasukannya.

Begitupun, rembatan voli Denzel Dumfries 10 minit sebelum tamat perlawanan mengesahkan kemenangan bergaya skuad Orange.

Anak buah Louis van Gaal mendahului jaringan menerusi serangan awal apabila Dumfries mengumpan bola kepada penyerang Barcelona, Depay yang tidak berdepan masalah meledak gol.

Dumfries kemudian turut memainkan peranan untuk Blind menjadikan kedudukan 2-0 dan memastikan pasukannya menguasai perlawanan.

Wright meledak jaringan selepas menerima hantaran Christian Pulisic namun aksi cemerlang dipamerkan Dumfries membolehkannya memanfaatkan peluang untuk meledak gol ketiga seterusnya merentap semangat lawan.

Disiarkan pada: December 4, 2022 @ 1:11am
d