mutakhir

11 mayat tiba di HSB, semua belum dikenal pasti

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Sungai Buloh: Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh (HSB), di sini sudah menerima seramai 11 mayat mangsa kejadian tanah runtuh di Father's Organic Farm, Batang Kali, dekat sini, setakat jam 4.20 petang.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, lima lagi mayat mangsa kejadian sedang dibawa ke hospital dari lokasi kejadian.

"Identiti semua mayat belum dikenal pasti. Pasukan perubatan Forensik menyediakan sebanyak lima pasukan petugas terdiri dari pegawai perubatan perawatan kesihatan.

"Turut dibantu oleh petugas Jabatan Forensik Hospital Al-Sultan Abdullah UiTM Puncak Alam untuk menjalankan bedah siasat," katanya.

Menurutnya, pasukan perubatan forensik kini sedang mengumpul maklumat antemortem (berkaitan dengan sesuatu yang berlaku atau dilakukan sebelum mati) daripada waris yang sedang berada di perkarangan Jabatan Forensik.

"Dengan adanya antemortem daripada waris akan dapat mempercepatkan proses pengecaman, seterusnya penyerahan mayat kepada waris boleh dilakukan selepas selesai bedah siasat," katanya.

Sementara itu, perkarangan Jabatan Forensik HSB dipenuhi keluarga mangsa yang kini sedang memberikan maklumat antemortem kepada pihak hospital.

Disiarkan pada: December 16, 2022 @ 5:28pm
d