Bola Sepak

Kisah indah Maghribi di Piala Dunia diraikan

Oleh AFP

Rabat: Ribuan rakyat Maghribi membanjiri ibu negara mereka untuk menyambut keputusan pasukan bola sepak kebangsaan mereka, skuad Arab atau Afrika pertama yang berjaya mara ke separuh akhir Piala Dunia.

Pasukan itu dan jurulatih mereka Walid Regragui melambai dari sebuah bas terbuka yang dipandu dari lapangan terbang menuju Rabat diiringi berpuluh-puluh kereta polis dan motosikal dengan lampu berkelip dan siren dibunyikan.

Orang ramai bersorak dan membakar suar serta bunga api bergemerlapan di langit di ibu kota negara itu.

"Saya sangat berbangga dengan pasukan kami. Siapa tahu mungkin lain kami mereka boleh memenangi piala itu," kata Adam Najah, seorang pelayan berusia 27 tahun dari bandar Meknes.

Dia berkata, dia menempuh perjalanan sejauh 150 kilometer untuk merasai hari bersejarah itu dan "meraikan kisah indah Maghribi di Piala Dunia."

Ramai penyokong memakai baju kebangsaan dan mengibarkan bendera merah menunggu berjam-jam untuk melihat wira mereka.

Disiarkan pada: December 21, 2022 @ 8:54am
d