mutakhir

Penduduk resah, jalan runtuh akibat banjir

Oleh Rosli Ilham

Kemaman: Jalan yang menghubungkan Kampung Payoh dan Kampung Bujal di Kijal, di sini runtuh selepas ditenggelami banjir.

Penduduk, Zurida Kasim, 51, berkata, dia menyedari keadaan jalan itu ketika mahu melaluinya pagi tadi.

Sebelum ini, jalan berkenaan ditenggelami banjir kira-kira satu meter.

"Bila air mulai surut pagi ini, saya terkejut mendapati ia runtuh dan tidak dapat dilalui semua lalu lintas.

"Jalan itu bukan sahaja terputus dua malah terputus tiga kesan daripada banjir yang berlaku sejak kelmarin," katanya.

Menurutnya, laluan itu adalah jalan utama penduduk terutama pekebun dan penanam sayur di Kampung Payoh dan Kampung Bujal berulang alik setiap hari.

Disebabkan keadaan itu, penduduk terpaksa menggunakan laluan alternatif lain yang jauh kira-kira 10 kilometer iaitu melalui Bukit Teruna.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Payoh, Yahya Ismail berkata, beliau sudah memanjangkan isu itu kepada pihak berwajib.

"Kejadian itu berlaku mungkin akibat pembetung yang di bawah jalan pecah akibat arus deras yang sekali gus meruntuhkan jalan.

"Kita berharap pihak berwajib mengambil tindakan segera menyelesaikan masalah itu demi keselesaan penduduk dan pengguna jalan itu," katanya.

Disiarkan pada: December 21, 2022 @ 4:38pm
d