mutakhir

80 tan pakaian terpakai dikumpul dalam 14 hari

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani

Kuantan: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Afzan di sini, berjaya mengumpul hampir 80 tan pakaian terpakai menerusi Projek Kitar Semula Pakaian Terpakai yang diadakan dalam tempoh dua minggu sahaja.

Pengetua sekolah berkenaan, Sharida Abd Latif berkata, selain pakaian terpakai, pihaknya menerima pelbagai barangan lain seperti kasut, permainan kanak-kanak, fabrik terpakai seperti langsir, cadar dan selimut.

Menurutnya, pakaian terpakai itu akan dihantar ke sebuah kilang yang menguruskan pakaian terpakai di kenali sebagai Life Line Cothing Malaysia Sdn Bhd (LLCM) yang beroperasi di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Klang.

"Pada peringkat awal kami hanya sasarkan 10 tan pakaian sahaja untuk tempoh 14 hari ini tetapi tidak menyangka terima hampir 80 tan.

"Saya harap, pakaian dan fabrik terpakai ini dapat diagihkan segera kepada mangsa banjir terutama di Kelantan dan Terengganu kerana mereka amat memerlukannya ketika ini," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Projek kitar semula yang bermula 10 hingga 24 Disember itu adalah anjuran bersama Persatuan Pandu Puteri, Kelab Kitar Semula dan Hal Ehwal Murid di sekolah berkenaan dan mendapat sambutan luar biasa sejak hari pertama dilancarkan.

Menurutnya, selain pelajar sekolah, mereka dibantu pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Gebeng dan anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk kerja-kerja pengasingan barangan yang diterima.

"Kami turut berterima kasih kepada Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang hadir memberi sokongan terhadap projek ini yang berakhir kelmarin," katanya.

Disiarkan pada: December 26, 2022 @ 9:48am
d