mutakhir

Buka peluang kepada golongan muda

Johor Bahru: Tiga pendekatan digariskan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, untuk memperkasa parti itu dalam usaha terus kekal memerintah negara ini.

Menurutnya, pendekatan itu ialah mengutamakan ahli yang mampu melahirkan idea unggul, mereka yang berjaya dalam komunikasi serta membuka UMNO kepada bakat baru.

Katanya, UMNO seharusnya dilihat lebih segar dan dinamik serta ahlinya mempunyai semangat tinggi untuk berjuang demi parti.

“Dalam keadaan dunia yang sudah berubah, jika (seseorang) ada idea dia yang akan menang, mereka yang ada komunikasi akan lebih berjaya.

“Jika ada idea tetapi komunikasi lemah dan tiada engagement (interaksi) tidak mungkin boleh berjaya. Sebab itu UMNO perlu dibuka secara inklusif dengan memberi peluang kepada golongan muda,” katanya.

Najib yang juga Perdana Menteri berkata demikian berucap pada majlis perasmian Konvensyen UMNO Johor 2014, di sini, semalam.

Hadir sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Konvensyen berlangsung selama dua hari bermula semalam itu dihadiri 1,100 perwakilan termasuk badan bukan kerajaan (NGO), veteran UMNO dan pegawai wakil rakyat.

Najib mengakui orang muda sukar untuk mendapat tempat dalam parti kerana banyak halangan perlu dilalui.

“Kalau melangkah anak tangga dalam UMNO, kena cantas, blocking (dihalang), kena sepak. Kalau macam itu mana ada orang muda mahu masuk parti.

“Kita boleh panjat tangga kondominium yang eksklusif tetapi kalau perangai kita tidak berubah, orang muda nak ke masuk?” katanya.

Menurutnya, perangai seperti itu perlu dibuang dalam usaha memastikan UMNO terus diterima oleh masyarakat.

Sementara itu, Mohamed Khaled ketika berucap, mengumumkan penubuhan Institut Penyelidikan UMNO Johor untuk menjadi badan pemikir dan penganalisis dasar.

Menurutnya, badan itu akan merancang strategi berorientasikan penyelidikan demi memastikan kelestarian UMNO.

“Selain itu, badan berkenaan akan mengadakan forum terbuka untuk sesiapa saja tampil mengemukakan idea besar dan pemikiran luar biasa bagi manfaat parti, bangsa dan negara.

“Fungsi ketiga badan itu ialah mengadakan seminar, pendidikan, latihan dan penyebaran idea yang bersifat strategik bagi kelangsungan parti, bangsa Melayu dan kemakmuran Johor serta Malaysia,” katanya.

Disiarkan pada: November 15, 2014 @ 5:07am
d